Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
Antara papan tanda yang diconteng angka tertentu.
KUALA KUBU BHARU - Imej Hulu Selangor dicemari dengan papan tanda disembur angka tertentu dipercayai simbol kumpulan yang dikaitkan dengan samseng.

Tinjauan mendapati, terdapat beberapa papan tanda di jalan utama, kampung dan taman perumahan sekitar daerah ini diconteng dengan angka 21 dan 08.

Penduduk daripada Hulu Bernam, Shahrul Nizam Zakaria, 39, berkata, perbuatan menconteng papan tanda, mengoyakkan kain rentang atau sebarang unsur sabotaj sudah lama berlaku.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut didalangi kumpulan samseng.

“Hanya tiada tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka ini yang terlibat.

“Walaupun laporan dibuat contohnya aduan menconteng kain rentang parti politik, tapi apa tindakan yang dikenakan? Sampai sekarang tak pernah ada kesudahan,” katanya.

Pelajar kolej, Razlan Samsuddin, 24, berkata, terdapat banyak papan tanda yang diconteng dengan angka tertentu.

Menurutnya, perbuatan yang dianggap tidak bermoral itu dapat dilihat di sepanjang Jalan Kuala Kubu Bharu, Jalan Batang Kali, Bukit Beruntung dan Hulu Bernam.

“Perbuatan sebegini sebenarnya perlu dipandang serius kerana angka yang semburkan di papan tanda itu melambangkan kod kumpulan tertentu.

“Jika itu benar, ini menandakan wujud kumpulan tersebut di kawasan ini dan boleh menyebabkan ancaman kepada penduduk jika ia tidak dikekang,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa harus bertindak lebih agresif dalam menghalang perbuatan dan tindak tanduk kumpulan tersebut.

"Jika benar kumpulan tersebut dikaitkan dengan samseng tindakan lebih tegas perlu diambil," katanya.