Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Kepala, kaki hancur akibat dirempuh kereta




Anggota polis mengutip cebisan otak mangsa yang maut dirempuh dan digilis beberapa kenderaan.
SABAK BERNAM - Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan setelah basikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di kilometer 39 Jalan Klang - Teluk Intan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Sampol Pieei, 78, maut di tempat kejadian akibat digilis lori dan beberapa kenderaan lain selepas rempuhan tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 7.50 malam tersebut mangsa dipercayai cuba melintas jalan dan dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu laju.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang basikal.

"Mangsa mengalami kecederaan parah. Kepala dan kaki mangsa hancur digilis,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut.

“Suspek yang melanggar mangsa juga masih tidak membuat sebarang laporan dan kita sedang mengesannya. Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai langgar lari,” katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga mangsa juga masih belum membuat sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, saksi kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dan membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

No comments:

Post a Comment