Kelindan lori dijel dua tahun rompak wanita
Thiagarajan menutup muka dengan tuala kecil bagi mengelak wajahnya dirakam jurugambar di Mahkamah Sesyen, semalam.
SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan terhadap seorang kelindan lori atas kesalahan merompak barang kemas milik seorang wanita dengan bersenjatakan pisau, dua tahun lalu.

Tertuduh, A A Thiagarajan, 28, sebelum ini dibicarakan ketika kali pertama didakwa di mahkamah namun menukar kepada pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu.

Hakim, Datin Nursinah Adzmi membuat keputusan itu selepas menimbangkan fakta kes dan rundingan serta persetujuan mengenai hukuman antara tertuduh dan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hasan Ramli.

Mengikut pertuduhan, Thiagarajan didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas, melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan pisau terhadap M Thangam, 44, dan mengambil barang kemas seperti rantai leher, loket, dua pasang anting-anting dan subang hidung serta telefon bimbit.

Thiagarajan dituduh mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh yang diwakili S Thevar, ketika rayuannya memohon supaya dipenjara di Seremban bagi memudahkan keluarga melawatnya namun mahkamah menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa pihak penjara.

Muhamad Abu Hasan turut memohon mahkamah mengarahkan tertuduh membayar pampasan kepada mangsa dan kos pendakwaan, namun dibantah peguam.