Kanak-kanak maut jatuh balkoni
Siti Nur Jannah (dua, kiri) kelihatan sugul ketika menunggu mayat anaknya di Hospital Serdang,
PUCHONG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh rumah pengasuhnya di Apartmen Sutra Mas, Puchong Jaya, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu mangsa, Muhamad Adam Zafuan sebelum itu dikatakan sedang bermain di balkoni rumah berkenaan sebelum ditemui parah di tingkat bawah pangsapuri itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Serdang akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ibu mangsa, Siti Nur Jannah Azman, 24, ketika ditemui berkata, anak tunggalnya itu seorang yang hiperaktif dan suka bermain di balkoni rumah.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan hanya dimaklumkan mengenai insiden malang itu oleh salah seorang rakannya.

“Adam memang suka bermain di balkoni, saya tidak sangka dia akan meninggal dunia dengan cara demikian,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Serdang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 9.10 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati pengasuh kanak-kanak itu tidak tahu atau menyedari bila dan bagaimana kanak-kanak itu boleh terjatuh.

“Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Serdang,” katanya.
Artikel Berkaitan