Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

Maut ditembak tuan rumah

 Adi Hafiz   menunjukkan bagaimana dia diikat  perompak yang menceroboh  rumah  mentuanya di Assam Kumbang, taiping, semalam. - Foto Ikhwan Munir
Adi Hafiz menunjukkan bagaimana dia diikat perompak yang menceroboh rumah mentuanya di Assam Kumbang, taiping, semalam. - Foto Ikhwan Munir Satu daripada 4 perompak ceroboh kediaman bekas pegawai polis mati

Taiping: Tindakan empat penjenayah bertopeng cuba menyamun keluarga bekas seorang pegawai polis mengundang padah apabila seorang daripadanya mati ditembak pemilik rumah berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi, Abd Jalil Abd Wahab, 63, yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Kedah, terpaksa melepaskan dua das tembakan pistol apabila menyedari keluarganya dalam bahaya termasuk suspek menjadikan anaknya, Jazlina, 28, sebagai umpan supaya dia membuka pintu biliknya.

Saya sempat melihat CCTV di dalam bilik untuk memastikan keadaan sebenar dan terkejut lihat kelibat seperti perompak berdiri depan pintu bilik," Abd Jalil Abd Wahab, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Kedah

Capai pistol

Menceritakan detik cemas itu, Jalil yang berpangkat superintendan ketika bersara tujuh tahun lalu berkata, dia mencapai pistol selepas mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila terdengar suara anaknya meminta tolong sambil mengetuk pintu biliknya di rumah mereka di Rumah Kediaman Pegawai Kanan Kerajaan, Assam Kumbang, dekat sini.

“Sebelum membuka pintu, saya sempat melihat skrin kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik untuk memastikan keadaan dan terkejut apabila melihat kelibat seperti perompak berdiri depan pintu bilik.

“Saya membuka pintu perlahan-lahan dan sebaik melihat tiga susuk tubuh lelaki terbabit, saya nekad melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Saya meluru keluar dari bilik dan melepaskan satu lagi tembakan ke arah kumpulan perompak terbabit yang melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jalil berkata, beliau tidak mengejar kumpulan perompak itu kerana lebih mengutamakan keselamatan anak, menantu dan cucunya di rumah itu.

Jazlina pula berkata, penjenayah sebelum itu menceroboh bilik tidurnya di tingkat atas sebelum mengikat tangan suaminya, Adi Hafiz Yusop, 34, dengan wayar seterika dan menutup mulutnya sebelum memaksanya menunjukkan bilik lain.

Katanya, penjenayah kemudian mengikat tangan anak saudaranya, Arif Syazwan Mohd Shariff, 12, dan mengarahnya mengetuk pintu bilik bapanya yang tidur bersama ibunya, Azizah Saad, 61.

“Saya memanggil ayah supaya membuka pintu bilik dan berharap kami sekeluarga tidak di apa-apakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata, seorang daripada suspek berusia 40-an yang terkena tembakan di perut ditemui mati di kawasan belukar kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Polis temui pisau lipat

Beliau mengesahkan mangsa melepaskan dua das tembakan menggunakan pistol jenis Smith & Wesson, manakala siasatan polis menemui pisau lipat, pemutar skru serta pemotong dan besi pengumpil dipercayai digunakan suspek.

“Penjenayah hanya berjaya melarikan dua telefon bimbit dan dua jam tangan yang semuanya bernilai kira-kira RM3,000, manakala sebuah i-Pad yang dilarikan ditemui tercicir depan pintu rumah mangsa.

“Polis sedang mengenal pasti identiti suspek yang terbunuh dan rakannya. Gerakan memburu mereka juga giat dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment