Kaki ‘stunt’ masuk perangkap
Remaja yang ditahan disoal siasat anggota polis.
SHAH ALAM – Walaupun pernah disabitkan kesalahan mencuri motosikal dan di bawah pengawasan polis selama dua tahun, itu belum cukup untuk menginsafkan dua remaja apabila mereka sekali lagi ditahan kerana melakukan aksi merbahaya sambil menunggang motosikal di Dataran Shah Alam awal pagi semalam.

Dua remaja berusia 18 tahun itu bersama enam rakannya yang membuat ‘pertunjukan’ di kawasan sama antara ditahan dalam operasi pencegahan kesalahan lalu lintas oleh Pasukan Khas Unit Trafik dan Ketenteraman Awam  Bukit Aman awal pagi semalam.

Dua remaja itu yang salah seorangnya bekerja kilang berkata, tujuan mereka beraksi seperti itu adalah untuk bersaing siapa lebih handal.

Lebih menjengkelkan,  ada di antara mereka  memaki hamun anggota polis selepas tidak berpuas hati ditahan .

Ketua operasi berkata, pemantauan dilakukan bermula jam 12 malam dan berakhir jam 4 pagi itu menyasarkan kawasan Dataran Shah Alam yang sejak akhir-akhir ini menjadi medan kumpulan terbabit melakukan aksi berbahaya.

“Kesemua ditahan dalan operasi selama empat jam  ini berusia belasan tahun hingga awal 20-an,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kebanyakan motosikal digunakan diubah suai untuk tujuan itu.

Kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.