Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan di Gelugor




6 Januari 2013
GEORGE TOWN - Seorang juruteknik sebuah kilang maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal hari ini.

M. Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor di sini dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas ke George Town sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata kemalangan pada pukul 2.15 pagi itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan badan dan mati di tempat kejadian.

Beliau meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04- 2181872 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu adik mangsa, M. Ravi, 40, berkata abangnya yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke George Town tetapi tidak tahu apakah tujuannya.

"Saya mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada abang sulung saya dan sebaik menerima berita itu saya terus bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika sampai saya dapati abang berlumuran darah dan sudah tidak bergerak lagi. Pagi semalam dia ada menghubungi dan mengingatkan supaya jangan lupa mengambilnya untuk ke kuil bagi majlis memperingati kematian bapa saudara kami," katanya.

Ravi berkata kali terakhir dia bertemu dengan mendiang minggu lepas ketika menziarahi bapa saudara mereka yang meninggal dunia di Kuala Lumpur.

"Mendiang seorang yang pendiam dan dia meninggalkan seorang balu dan dua anak yang masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment