Antara peserta yang mendakwa mereka teraniaya setelah terpedaya tawaran lumayan sebuah koperasi.
Antara peserta yang mendakwa mereka teraniaya setelah terpedaya tawaran lumayan sebuah koperasi.
SKUDAI – Impian mendapatkan pulangan lumayan apabila menyertai sebuah koperasi yang ditubuhkan enam tahun lalu bertukar mimpi buruk bagi hampir 20 peserta dari seluruh Semenanjung, selepas terpedaya dengan modus operandi yang ditawarkan.

Tawaran pulangan faedah sebanyak 10 peratus atau bergantung kepada nilai pelaburan yang disertai menjadi tarikan selepas membaca iklan dan artikel yang disiarkan dalam beberapa akhbar Tamil sekitar 2008.

Mereka berasa tertipu selepas dua tahun menyertainya setelah langsung tidak menerima sebarang bayaran faedah bahkan individu yang dipercayai mengendalikan koperasi menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Mangsa, P Kamalaveni, 49, bersama suami, S Muniandy, 49, dari Taman Puteri Wangsa, di sini, berkata, mereka mengetahui kewujudan koperasi itu selepas diperkenalkan seorang kenalan dan dua individu yang mengendalikan koperasi itu datang ke rumahnya untuk memberi penerangan lanjut.

“Saya tertarik melabur dalam program biotek lembu tenusu yang didakwa memberi faedah tinggi selain projek Bio Desaru.

"Saya jadi tertarik selain diiklankan dalam akhbar, mereka turut menunjukkan bukti dan logo bahawa kerajaan negeri ini yang turut bekerjsama.

“Rasa yakin dengan maklumat lanjut mereka, saya membayar lebih RM75,000 dari ta 2009 hingga 2011 melalui cek namun langsung tidak terima sebarang faedah.

Pelbagai alasan yang diberikan mereka sekiranya diajukan soalan sebelum kami sedar rasa tertipu lalu membuat laporan” katanya kepada media.

Seorang lagi mangsa, R Selvaraj, 52, dari Klang turut menerima nasib yang sama apabila lebih RM5,000 yang dipinjam dari ibu untuk membuat pelaburan sama dlenyap begitu sahaja.

“Sepatutnya saya membeli satu unit saham bernilai RM30,000. Saya baru membayar yuran keahlian RM108 dan membayar RM5,000 untuk pelaburan.

Saya yakin selepas datang sendiri ke majlis perasmiannya yang dihadiri orang kenamaan.

“Tetapi, saya sendiri rasa tidak sedap hati apabila tidak mendapat faedah dijanjikan.

"Mereka gagal dikesan, pejabat operasinya juga ditutup. Rujukan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberitahu koperasi itu dibekukan dan telah dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Bendahari PKR Selangor, Dr S Streram berkata, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk menyiasat perkara itu bagi membolehkan mereka yang terlibat mendapat pembelaan.

“Kami percaya lebih ramai terpedaya dengan  penyelewengan dan penipuan ini. Kami anggarkan kemungkinan lebih RM500 juta dilaburkan kerana koperasi ini melibatkan seluruh negara.
“Sebelum ini, mereka tidak tahu saluran mengadu. Banyak pihak dan aduan diajukan, namun hasilnya hampa. Kita harap mereka dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.