GEORGETOWN - Seorang polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberikan maklumat palsu dengan niat menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai terlibat kes di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan pada 3 Mei tahun lalu.

Mohd Yusuf Payarin, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zainol Rashid Hussain.

Mengikut pertuduhan, Mohd Yusuf yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah didakwa memberi maklumat palsu dengan niat menyelamatkan Nor Ashura Apandi melibatkan kes di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan terbabit, Mohd Yusuf boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan atau denda atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, Zainol Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.