Ibu, anak maut dihempap pokok kelapa setinggi 10m
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.
BUKIT MERTAJAM - Malang tidak berbau apabila dua beranak maut dihempap pokok kelapa ketika dalam perjalanan ke taman rekreasi Cherok To’ Kun, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, Tan Sai Lang, 70, dan anak perempuannya, Heng Lee Liew, 44, maut di tempat kejadian apabila kereta Proton Satria dinaiki mereka dihempap pokok kelapa setinggi 10 meter.

Ibu dan anak itu didapati mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pokok kelapa itu dipercayai tumbang ke atas kereta yang dipandu Lee Liew sebelum jatuh ke atas jalan raya di Jalan Cherok To’kun.

Difahamkan, kedua beranak itu sering menggunakan laluan berkenaan ke taman rekreasi untuk bersenam.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.