Helikopter terhempas atas menara
Orang awam terkejut melihat insiden mencetuskan kebakaran.
LONDON - Sebuah helikopter terbakar dan meragut dua nyawa selepas merempuh kren di atas bumbung menara kediaman tertinggi Eropah di tengah London, semalam.

Pegawai polis, Bernard Hogan Howe berkata, pihak masih belum menemukan punca sebenar rempuhan yang turut mencetuskan kebakaran dan asap tebal itu.

Katanya, kira-kira 11 orang cedera dan telah diberi rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital terdekat.

Menurut Hogan, helikopter berkenaan dipercayai melakukan pertukaran arah ke landasan dalam Battersea yang berdekatan dengan lokasi nahas.

"Semasa kejadian, saya terdengar bunyi dentuman sangat kuat. Kemudian saya ternampak sebuah kren telah jatuh daripada bumbung menara berkenaan dengan kepulan asap tebal," kata petugas pejabat bangunan berdekatan insiden, Julie Marsden. -  Reuters