Halang pusat judi beroperasi
NGO dan parti politik membantah sebarang kegiatan berunsur perjudian beroperasi di daerah ini.
MARAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik daerah ini senada membantah sebarang kegiatan berunsur perjudian beroperasi di daerah ini.

Mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berterusan supaya aktiviti tidak bermoral itu diperangi sepenuhnya.

Sehubungan itu, 11 NGO termasuk parti politik terbabit membuat laporan di Balai Polis Sungai Jerik bagi menyatakan bantahan dan sokongan kepada usaha pihak berkuasa melakukan beberapa siri serbuan ke premis judi internet termasuk di tanah rancangan Felda.

Wakil Umno Sungai Jerik, Juhari Che Lah berkata, daerah Maran mempunyai lebih 100,000 penduduk Melayu beragama Islam dan hanya sebilangan kecil kaum lain.

Menurutnya, usaha membanteras aktiviti perjudian perlu berterusan seperti mana dipertahankan selama ini bagi mengelak keruntuhan akhlak yang boleh mengancam keselamatan setempat.

“Perkara ini adalah serius dan semua pihak terutama masyarakat diminta bekerjasama bagi memastikan tiada aktiviti perjudian wujud di kawasan masing-masing.

“Sama ada yang berlesen apatah lagi yang secara haram kerana daerah ini didiami lebih 90 peratus orang Melayu beragama Islam. Kami tidak mahu aktiviti perjudian wujud atau bakal diwujudkan termasuk pusat judi internet,” katanya kepada Sinar Harian.

Wakil Umno Bahagian Maran, Mukaram Shah Zainuddin berkata,  mereka menyokong usaha pihak polis dan Majlis Daerah Maran (MDM) membanteras aktiviti perjudian, sekali gus memberi satu gambaran jelas terhadap pendirian penduduk mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, pekan Sri Jaya dan Sungai Jerik dikelilingi kawasan orang Islam, maka perniagaan berunsur perjudian tidak boleh beroperasi.

“Jika tidak dihalang, ia dikhuatiri boleh merosakkan anak bangsa, selain memberi ancaman keselamatan kepada penduduk,” katanya.

Laporan polis turut dibuat Pewaris, Persatuan Belia Sungai Jerik, Belia Ulu Jempol, Pemuda Umno Jengka 1, PPU Maran, Pemuda Umno Ulu Jempol, Persatuan Kelab Motor Pahang, JKKK Ulu Jempol dan KRT Jengka  2.