Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Geng Fly by night tumpas



IPOH 4 Jan. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan perniagaan dikenali sebagai Fly by night yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM155,000, ekoran penahanan empat lelaki dan seorang wanita warga Thailand di Pulau Pinang dan Perak.
Dalam tangkapan secara berasingan sejak 20 Disember lalu itu, kesemua suspek yang ditahan berusia 43 hingga 54 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sindiket yang menggunakan penagih dadah sebagai proksi itu menjalankan 'perniagaan' membeli barangan runcit, baja pertanian dan alatan pejabat daripada mana-mana syarikat secara pukal dengan pembayaran menggunakan cek tertunggak.
Beliau berkata, syarikat itu bagaimanapun hanya menyedari penipuan tersebut selepas cek yang dikeluarkan sindiket tidak dapat ditunaikan kerana akaunnya telah ditutup.
"Pejabat atau gudang sindiket tersebut akan dikosongkan malah semua pekerja dan pemiliknya yang baru didaftarkan menerusi sebuah syarikat itu menghilangkan diri selepas beroperasi dalam masa kira-kira dua bulan sahaja.
"Sindiket itu akan menggunakan proksi untuk mendaftarkan syarikat serta membuka akaun bank. Pada kebiasaannya, proksi ini merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identitinya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, polis telah menahan ketua kumpulan yang juga perancang sindiket berkenaan yang aktif menjalankan operasi di sekitar Manjung, Sungai Siput dan Taiping.
Katanya, selain menangkap pemilik, pekerja dan pembeli barang curi berkenaan, polis turut merampas beberapa dokumen jual beli syarikat tersebut melibatkan invois dan tempahan penghantaran.
"Turut dirampas adalah 39,320 kilogram baja pertanian, 24 unit set mangkuk tandas, 30 karton sebuk pencuci, lima karton serbuk kopi, dan 64 bungkus kerisik kelapa.
"Suspek utama dalam kes ini juga dikehendaki oleh polis kontinjen Pahang dan Pulau Pinang kerana kesalahan penipuan jenayah melibatkan modus operandi sama," katanya.
Mohd. Shukri berkata, polis kini mencari tiga lagi individu yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130105/je_01/Geng-Fly-by-night-tumpas#ixzz2HCYlmXA4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment