Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Gantung diri tidak tahan ancaman along



Teluk Intan: Akibat tidak tahan dengan ancaman berterusan daripada ceti haram, seorang ahli perniagaan bertindak nekad dengan menggantung dirinya di sebuah pondok berhampiran jambatan Jalan Maharajarela, di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia 40-an itu sempat meninggalkan sekeping surat wasiat bagi menceritakan penderitaan dialami selain meminta pihak polis melindungi keluarganya daripada gangguan along.


Kematian mangsa hanya disedari jam 9 pagi selepas mayatnya ditemui orang ramai tergantung dengan kesan jerutan pada leher di dalam pondok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan sebelum segera melakukan siasatan di lokasi kejadian.


Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.


“Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat membunuh diri tanpa membabitkan sebarang unsur jenayah. Siasatan awal mendapati mangsa meninggalkan rumah pada pagi Khamis.

“Keluarga mangsa mendakwa menemui sekeping nota tulisan tangan yang ditinggalkan mangsa di rumah mereka. Di dalam surat itu mangsa mendakwa berkenalan dengan seorang kenamaan bergelar Datuk untuk menjalankan perniagaan.


“Bagaimanapun mangsa mendakwa terpaksa membuat pinjaman wang daripada along berikutan tiada modal untuk memulakan perniagaan. Perniagaan itu bagaimanapun gagal hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian dan berhutang dengan along,” katanya.

Menurutnya, mangsa akhirnya mengambil keputusan membunuh diri disebabkan tertekan dengan tindakan Along yang setiap hari memaksa mangsa menjelaskan hutang selain melakukan pelbagai ugutan.

No comments:

Post a Comment