Dua kali rumah dimasuki pencuri
Shohimi menunjukkan kesan pada tingkap besinya diumpil pihak tidak bertanggungjawab yang kemudiannya masuk ke rumahnya sewaktu dia pulang ke kampung.
ROMPIN – Tiga sekeluarga yang baru pulang dari Yan, Kedah kerugian lebih RM3,000 selepas rumah mereka di Felda Keratong 7 Chanis, di sini, dipecah masuk pencuri.

Shohimi Abdullah, 57, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila mendapati pintu belakang rumahnya terbuka sebaik saja sampai di hadapan garaj rumahnya pada jam 2.30 pagi.

Menurutnya, empat bilik anaknya digeledah perompak menyebabkan pakaian berselerak atas lantai, selain beberapa barangan berharga turut dicuri ketika mereka pulang ke kampung selama lima hari.

“Sebaik saja sampai ke rumah, kami terkejut melihat pintu belakang rumah terbuka. Saya beritahu isteri mungkin rumah kami dimasuki pencuri,” katanya.

Shohimi berkata, pencuri itu dipercayai masuk ke rumahnya melalui tingkap belakang memandangkan terdapat kesan umpil pada besi tingkap, selain cermin tingkap disusun kemas di belakang rumah.

“Pencuri itu alih lima cermin tingkap belakang dan besi tingkap pula diumpil bagi memudahkan mereka masuk dalam rumah sebelum keluar melalui pintu belakang,” katanya.

Beliau berkata, beberapa barangan berharga miliknya dan anak-anaknya yang tinggal dalam rumah itu lesap dalam kejadian itu.

“Komputer riba, sebuah telefon bimbit, duit tabung RM300 dan dua parang pemotong daging dikebas pencuri,” katanya.

Katanya, kejadian itu adalah kali kedua rumahnya di pecah masuk dalam tempoh tiga tahun hingga menimbulkan kebimbangan mereka sekeluarga berhubung tahap keselamatan di sekitar kawasan itu.

“Kita bimbang jika mereka buat tindakan di luar kawalan seperti mencederakan penghuni rumah kerana mahukan wang dan sebagainya.

“Kami minta pihak berkuasa tingkatkan rondaan pada waktu malam,” katanya.
Dalam kejadian sebelum ini, katanya, sebuah alat permainan video anaknya bernilai RM800 hilang selain beberapa barangan berharga yang lain.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.