Dua beradik hanyut, abang selamat adik masih hilang
Che Ku Amirudin Che Ku Bakar
Dua beradik hanyut, abang selamat adik masih hilang
Usaha mencari dan menyelamat digerakkan serta-merta.
DUNGUN – Hasrat dua beradik pulang ke rumah selepas masuk ke hutan tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri hilang ketika menyeberangi sebatang sungai dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berlaku ketika dua beradik, Che Ku Amirudin Che Ku Bakar, 22, dan abangnya, Che Ku Ahmad Ghadafi, 30, berenang menyeberangi Sungai Dungun selepas melihat jentera berat milik bapanya yang diletakkan dalam hutan di seberang sungai tersebut untuk kerja pembersihan selepas banjir.
Dua beradik itu yang terpaksa menyeberangi sungai itu untuk pulang semula ke rumahnya secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras menyebabkan Che Ku Amirudin tenggelam timbul dan gagal menyelamatkan diri sebelum hilang.
Abangnya, Che Ku Ghadafi bagaimanapun bernasib baik kerana sempat berpaut pada buluh yang hanyut, kira-kira 200 meter dari lokasi mereka lemas.
Kejadian tersebut turut disedari seorang penduduk yang secara kebetulan sedang memancing di kawasan berdekatan sebelum memberikan bantuan untuk menyelamatkan Che Ku Ghadafi.
Selepas dibawa naik ke tebing, Che Ku Ghadafi kemudiannya pulang ke rumah untuk memaklumkan kepada bapanya, Che Ku Abu Bakar Che Wan Abdullah, 61.
Menurut Che Ku, sebelum kejadian, dua anak lelakinya itu memaklumkan kepadanya untuk masuk ke hutan bagi melihat dua jenteranya yang diletakkan di sebarang sungai selepas melakukan kerja merata tanah selepas banjir surut, baru-baru ini.
“Mereka memaklumkan kepada saya untuk ke hutan di seberang sungai bagi melihat jentera kami kerana bimbang akan rosak jika terus ditinggalkan di situ.
“Tidak sangka pula paras air sungai dalam dan deras, kalau saya tahu, saya tak akan suruh mereka pergi,” kata Che Ku Abu Bakar.
Che Ku Ghadafi kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Jengai kira-kira jam 9 malam kelmarin berkaitan tragedi menimpa adik lelakinya itu.
Berikutan itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang itu diteruskan serta-merta.
Sehingga jam 4 petang tadi, operasi melibatkan pasukan bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung masih gagal menemui mangsa yang dikhuatiri hilang itu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian.