Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Ditembak 5 das



         
Baru dua hari tiba dari kampung, seorang lelaki menemui ajal selepas ditembak dari jarak dekat ketika menunggang motosikal berdekatan kediaman saudaranya di Gugusan Dahlia, Kota Damansara, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa berusia 44 tahun dikatakan hendak pulang ke rumah saudaranya dengan menunggang motosikal milik sebuah syarikat keselamatan sebelum ditembak suspek yang dipercayai menaiki sebuah kereta berwarna gelap.


Menurut saksi yang enggan dikenali, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri sebelum dipintas sebuah kereta yang kemudian berpatah balik.

“Saya terdengar beberapa bunyi letupan sebelum terlihat mangsa rebah manakala kereta itu terus memecut laju.


“Sekurang-kurangnya lima das tembakan dilepaskan suspek,” katanya.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa yang baru dua hari tiba dari Kedah menumpang di rumah saudaranya di kawasan itu untuk mencari kerja.

“Kita percaya suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan dua daripadanya kena tepat di dada, manakala satu lagi mengenai tangan kanan.


“Hasil pemeriksaan awal, polis menemui kelongsong peluru 9mm di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat,” katanya.

Arjunaidi turut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment