Diperdaya tauke projek tenusu
Amir Hamzah (kanan) melihat dokumen berkaitan yang ditunjukkan Zara di pejabat Pembela BN, semalam.
AYER KEROH - Impian seorang jururawat untuk mendapat keuntungan atas angin mencecah RM1,500 setiap bulan dengan membuat pelaburan dalam sebuah projek tenusu, akhirnya sekadar tinggal mimpi.

Ini kerana, ladang tenusu yang dikatakan terletak di Mersing, Johor itu sebenarnya tidak wujud menyebabkan wang yang dilaburkan jururawat berkenaan sebanyak RM30,786 lesap begitu saja.

Wanita terbabit yang dikenali sebagai Zara (bukan nama sebenar), 42, berkata, sebelum ini, dia berurusan dengan syarikat pelaburan berkenaan sejak dua tahun lalu, dengan harapan akan peroleh keuntungan mudah setiap bulan.

“Saya mula percaya dengan apa yang diperkatakan selepas mereka menyakinkan kepada saya dengan pelbagai persembahan audio visual, di samping memperkenalkan produk yang mereka hasilkan.

“Ini termasuklah susu segar dan keju atas nama syarikat itu dan disebabkan percaya dan yakin bahawa syarikat itu menjalankan perniagaan secara mudarabah yang disokong Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Saya terus bersetuju menjadi rakan niaga tanpa berfikir panjang,” katanya.

Menurutnya, dia mengenali pengusaha itu selepas menghadiri sebuah majlis anjuran syarikat berkenaan di sebuah hotel di negeri ini pada  Jun 2010, seterusnya membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,000.

Katanya, syarikat terbabit menjanjikan pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan tanpa perlu memikirkan perihal penjagaan yang kononnya diuruskan syarikat itu.

“Selepas beberapa hari, saya dikehendaki membayar wang susulan sebanyak RM5,764 melalui dua transaksi, manakala bakinya dibayar secara ansuran dalam tempoh lapan bulan menjadikan jumlah keseluruhan RM30,786,” katanya.

Zara bagaimanapun berkata, dia hanya menerima pulangan sebanyak RM1,208 dalam tempoh empat bulan antara April hingga Ogos tahun lalu.

“Selepas beberapa bulan, saya tidak lagi menerima apa-apa bayaran. Saya cuba menghubungi syarikat ini namun dimaklumkan bahawa kesemua lembu telah mati,” katanya yang kemudian membuat laporan polis selepas mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, semalam, Zara hadir ke pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) di sini untuk membuat aduan berhubung masalahnya itu.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Abd. Aziz berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan maklumat tentang syarikat terbabit.

“Surat perjanjian antara mangsa dan syarikat ini juga didapati tidak sah kerana hanya ditandatangani oleh dua pihak sahaja tanpa membabitkan peguam yang mengesahkan ketulenan perjanjian itu. Nombor telefon yang digunakan juga sudah tidak aktif bagi membolehkan tindakan diambil," katanya.

Berikutan itu, Amir Hamzah meminta mana-mana pihak yang turut menjadi mangsa syarikat berkenaan supaya tampil membuat laporan polis serta memaklumkan kepada Pembela BN.