Dicekup ketika leka berjudi
Antara individu yang ditahan menaiki kenderaan PDRM sebelum dibawa ke IPD untuk disoal siasat
Dicekup ketika leka berjudi
Anggota polis dan penguat kuasa MDB memasukkan kesemua 28 unit komputer yang dirampas semasa serbuan, semalam.
BERA - Dua remaja berusia 16 tahun yang leka berjudi antara 12 individu yang ditahan di salah sebuah premis siber kafe, dalam Operasi Bersepadu Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dekat sini, semalam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Majlis Daerah Bera (MDB), Afzanizam Mat Datar berkata,  dalam operasi itu, dua premis berjaya diserbu dan kedua-dua pemilik dikenakan kompaun.

“Kompaun dikenakan kepada kedua-dua pemilik yang masing-masing berjumlah RM500 dan RM250 kerana melanggar syarat lesen dan tidak mempunyai lesen bagi perniagaan tersebut.

“Pada awalnya, kita merancang untuk menyerbu tiga premis tetapi gagal menembusi halangan salah satu daripadanya kerana dikunci dari dalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Afzanizam berkata, mereka yang ditahan adalah penduduk yang tinggal berdekatan premis dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk disoal siasat.

Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan akan mengusulkan supaya lesen pemilik yang menyalahgunakan lesennya itu dibatalkan dan menyarankan nama pemilik itu disenaraihitamkan bagi permohonan lesen pada masa akan datang.

Katanya, permohonan lesen bagi perniagaan siber kafe telah dibekukan dan sehingga kini, hanya terdapat 24 lesen sahaja yang sah.

“Kita tidak meluluskan permohonan mereka kerana bimbang mereka akan menjalankan perniagaan judi berkomputer sedangkan mereka yang menjalankan perniagaan tanpa lesen semakin bertambah.

“Kita sentiasa mengadakan operasi bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan syarat lesen supaya perkara ini dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Zakaria Yusof mengesahkan penangkapan dan rampasan yang dilakukan dalam serbuan itu.