Dia suruh kami makan dulu
Thi Dong (depan) meraung akibat tidak dapat mengawal perasaan sebaik saja mengetahui rakannya ditemui mati lemas.
Dia suruh kami makan dulu
Mayat Val Sau terapung di sungai.
MELAKA - Misteri kehilangan seorang pekerja kilang sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui lengkap berpakaian di Sungai Malim, Batu Berendam, di sini petang kelmarin.

Bui Val Sau, 24, seorang warga Vietnam ditemui seorang lelaki yang mahu menjala ikan kira-kira 6.30 petang, di sungai berhampiran Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) .

Menurut rakan serumah mangsa, Mai Thi Dong, 26, mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira 8 malam untuk ke pasar malam Taman Merdeka.

“Dia mahu membeli sayur di sana. Sebelum keluar, dia sempat berpesan supaya kami makan dahulu dan tidak perlu menunggunya balik.

“Bagaimanapun, sehingga 9.30 malam, dia tidak juga pulang. Dalam 11.30 malam, kita cuba hubungi dia, tapi panggilan tidak berjawab," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.

Thi Dong berkata, dia bertambah bimbang apabila talian telefon mangsa gagal dihubungi selepas itu.

“Saya cuba menelefonnya sehingga jam 1 pagi tetapi tidak berjaya dan kebiasaannya sekiranya tidak menjawab panggilan dia akan menelefon saya semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.