Derita bersuamikan kaki judi
Sabrina menganggap penceraian mengajarnya lebih berhatihati dalam mengenali lelaki
ALOR GAJAH - Dia bukan sahaja menjanda di usia muda, malah terpaksa pula menanggung beban hutang bekas suami yang mencecah puluhan ribu ringgit akibat aktiviti judi mesin slot.

Itu penderitaan yang ditanggung Sabrina Dali, 21, bukan nama sebenar setelah perkahwinan yang dirancang bersama bekas suaminya yang berusia awal 50-an mengundang bala.

Menceritakan detik perkenalannya Sabrina berkata, ketika itu  dia baru berhenti kerja sebelum seorang rakan maklumkan terdapat sebuah restoran memerlukan pembantu sebelum memulakan kerja di restoran berkenaan.

Menurutnya, selang beberapa hari kemudian seorang lelaki meminta kebenaran menggunakan namanya bagi pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuka sebuah restoran.

“Selepas pendaftaran restoran ala barat yang baru menggunakan nama saya sebagai pemilik restoran selesai, dia nyatakan hasrat memperisterikan saya.

“Saya tak sedap hati dan minta lelaki itu datang berjumpa dengan ayah menyatakan hasratnya itu dan keluarga terus menerima pinangan lelaki berkenaan.

“Selepas berkahwin saya turut sama membantu menguruskan restoran berkenaan namun, selepas dua bulan berkahwin saya terpandang sekeping gambar bekas suami sedang memeluk seorang wanita Inggeris, " katanya yang diceraikan dua kali dalam tempoh sebulan.

Sabrina berkata,  setelah didesak bekas suaminya mengaku wanita dalam gambar itu adalah teman wanitanya semasa bekerja sebagai tukang masak di luar negara dan mendakwa memiliki seorang anak perempuan meningkat dewasa.
“Tidak cukup dengan itu perangai dia bermain judi mesin slot di sekitar Krubong, Melaka terdedah selepas dia meminta saya pajak semua barang kemas dengan mendaftarkannya di atas nama saya.

“Pada malam tahun baru lalu, dia membawa semua duit barang kemas yang dipajak berjumlah RM3,400 dan dihabiskan untuk berjudi di mesin slot sebelum pusat judi berkenaan diserbu pihak polis.

Menurutnya, suaminya ditangkap namun selepas diikat jamin dia naik angin kerana mengganggu kegiatannya lalu menceraikannya dengan talak satu sebelum merujuk semula.

“Semua wang kutipan hasil dari keuntungan perniagaan diambilnya tidak tinggal sesen pun malah, wang simpanan hampir puluhan ribu ringgit dalam dua akaun bank juga turut dilesapkan.

“Pada malam 22 Januari lalu, bapa saya diherdik dan dihalau keluar dari rumah ketika datang untuk membincangkan masalah ini.

“Dengan angkuh dia ceraikan saya sekali lagi di hadapan bapa dan dua pekerja katanya ‘ceraikan dia selesai masalah’ sejak kejadian itu hidup saya tertekan dan bimbang dia mendendami saya,” katanya.

Sabrina kemudianya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Rabu lalu, untuk rujukan kes di Mahkamah Syariah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan dan berkata kes dirujuk ke Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.