Dapur dihanyutkan air sungai
Timah menunjukkan keadaan tebing sungai di belakang rumahnya yang terhakis.
JOHOL – Seorang warga emas di sini, tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya setiap kali hujan lebat selepas bahagian dapur rumahnya dihanyutkan air sungai yang melimpah.
Timah Rejab, 72, berkata, air sungai di belakang rumahnya akan melimpah setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, tebing sungai itu sudah terhakis dan semakin menghampiri rumahnya.

“Bila hujan lebat, makcik memang takut. Air sungai naik dengan cepat, kadangkala halaman rumah akan digenangi air sungai.

"Bagi mengelakkan hakisan, makcik tanam pokok buluh, namun masalah itu tetap berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ditemui di rumahnya di Kampung Renggoh, kelmarin.

Timah berkata, dia sudah empat kali mengadukan masalah itu kepada pihak berkaitan selain memohon bantuan batu sangkar di tebing rumahnya pada 2011.

“Makcik mengakui pihak berkenaan ada membantu dengan meluruskan aliran sungai selepas dapur rumah dihanyutkan air sungai.

"Walau bagaimanapun, air sungai tetap melalui aliran asalnya setiap kali hujan lebat. Mungkin kerana kapasiti air sungai luar biasa menyebabkan air melimpah ke aliran asal dan keadaan ini menyebabkan kawasan rumah makcik digenangi air sungai," katanya.

Katanya, oleh itu, diharap pihak berkenaan dapat memasang batu sangkar di kawasan tebing sungai berkenaan untuk mengelakkan hakisan.