Cubaan pasarkan rokok seludup dipatahkan
Anggota polis menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam satu serbuan, di sini semalam.
GUA MUSANG – Polis berjaya merampas 1,750 karton rokok bernilai RM50,000 yang dipercayai diseludup, berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditahan di jalan menuju ke Kampung Pulai, dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kenderaan terbabit ditahan sebaik polis mendapat maklumat beberapa kotak besar penuh dimuatkan dalam kereta terbabit kira-kira jam 6.30 petang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik polis peronda menemui kereta itu berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Kampung Tanah Puteh menyebabkan pemandunya cuba memecut kenderaan yang dipandu itu memasuki jalan ke Kampung Pulai,

“Anggota kita mengejar sejauh dua kilometer hingga berjaya menahannya dan melaku pemeriksaan sebelum menemui 1,750 karton rokok dalam 35 kota besar berada dalam kereta berkenaan,” katanya Ibu Pejabat Daerah (IPD) di sini, semalam.

Saiful Bahri berkata, berikutan itu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan rokok terbabit yang dipercayai di seludup sebelum dipasarkan ke Kelantan.

Katanya, lelaki berkenaan masih ditahan untuk diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kita juga menyifatkan rampasan rokok seludup itu yang terbesar di awal tahun baru ini dan menjadikan laluan utama Jalan Kuala Lipis- Gua Musang – Kota Bharu bagi pemasaran rokok berkenaan,” katanya.