Search This Blog

Friday, January 25, 2013

Cikgu lelaki maut digilis guru wanita


Jasin: Seorang guru lelaki terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 24.5, Jalan Melaka-Muar, Merlimau di sini, petang kelmarin.

Azhar Jamboree Abdullah, 37, maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya hancur dipercayai digilis sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya.


Lebih menyayat hati, guru Sekolah Kebangsaan Saint Francis, Banda Hilir, itu dikatakan dilanggar seorang guru wanita berusia lingkungan 30-an yang baru pulang mengajar di sebuah sekolah berdekatan. Difahamkan, dalam tragedi jam 5.45 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Naza Blade dari arah pekan Merlimau menghala ke Muar, Johor.

Setibanya di persimpangan berdekatan sebuah stesen minyak, mangsa yang membelok ke kiri jalan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu terjatuh. Sebuah kereta jenis Kia Spektra dipandu guru wanita di laluan itu kemudian dikatakan gagal mengelak lalu menggilis kepala mangsa. Azhar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.


Guru wanita yang tidak mengalami kecederaan tampil membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut. Isteri mangsa, Rafeah Alias, 39, berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik yang ketara sejak kebelakangan ini. “Pagi tadi (kelmarin), dia (suami) hanya berkelakuan seperti biasa dan sempat meminum air Milo kegemarannya sebelum keluar dari rumah di Taman Merlimau Utama untuk pergi mengajar,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jasin di sini, malam kelmarin. “Namun, dia pernah menyatakan hasratnya inginkan anak sendiri selepas kira-kira enam tahun kami mendirikan rumah tangga. Selain itu, suami sempat memberitahu mahu menunaikan umrah lagi,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jasin di sini, malam kelmarin. Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau yang masih sebak dengan kejadian itu, jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung halamannya di Serkam Pantai.


Tinjauan Harian Metro mendapati selain keluarga, sekumpulan rakan mangsa yang turut meminati motosikal berkuasa tinggi turut hadir menziarah di hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhd Nur Hisamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

1 comment:

  1. innalillahiwainnailaihirajiun...arwah adalah sahabat saya ketika kami sama belajar di UKM dari tahun 1998-2001. semoga isteri arwah tabah menghadapai kesedihan ini.Alhamdulillah kita patut bersyukur kerana kembalinya kepada penciptanya ketika mana arwah telah memeluk Islam..Allahhuakbar..takziah dari kami sekeluarga.. AZIZAH DAN RASHIDI.

    ReplyDelete