Cari suami selesai kes cerai
Zurina memegang gambar suaminya yang gagal dikesan bagi membantu menyelesaikan masalah penceraian mereka.
SERI ISKANDAR - Seorang wanita mencari suaminya yang tidak dapat dikesan bagi membantu menyelesaikan kes penceraian mereka.
Zurina Ramle, 38, berkata, suaminya Ramlee Abu Bakar, 40, gagal dikesan sejak November tahun lalu selepas keluar dari rumah mereka di Bota Kanan.
Menurutnya, selepas kali terakhir suaminya balik, November lalu dia gagal dikesan sehinggalah ke hari ini.
“Saya telah memohon cerai taklik kerana suami sudah lama tidak pulang dan tidak dapat dihubungi.
“Namun berlaku sedikit masalah kerana suami perlu hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes cerai ini,” katanya.
Katanya, alamat terakhir suaminya itu ialah di Teluk Batik, Kampung Telok Muroh, Lumut.
Menurutnya, dia telah cuba mencari lelaki itu dan bertanya dengan rakan-rakan yang mengenalinya namun tiada yang tahu keberadaan suaminya sekarang.
“Besar harapan saya supaya suami dapat hadir untuk kes mahkamah seterusnya pada 14 Februari depan di mahkamah syariah, Kampung Gajah untuk memastikan kes penceraian ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Katanya, mereka sudah berkahwin sejak tiga tahun lalu namun tidak dikurniakan anak.
“Saya amat berharap supaya dia dapat datang ke mahkamah syariah pada tarikh berkenaan supaya masalah ini dapat diselesaikan.
“Orang ramai yang tahu keberadaan suami juga boleh menghubungi saya di talian 019-5097756 kerana saya amat memerlukan kerjasama daripadanya bagi menyelesaikan kes ini,” katanya.
Zurina berkata, dia tidak mengharapkan sesuatu daripada suaminya kecuali ingin menyelesaikan kes penceraian itu secara baik.