Search This Blog

Sunday, January 27, 2013

Boleh hanyut dalam setengah jam



Beberapa anggota polis memeriksa longkang di Putra Heights tempat William Yau Zhen Zhong dipercayai dihanyutkan arus hingga ke Pelabuhan Klang semalam.


SUBANG JAYA - Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak hilang, William Yau Zhen Zhong, 6, yang mayatnya ditemui di Jeti Sungai Sireh, Klang kelmarin terjatuh ke dalam longkang besar di Putra Heights di sini sebelum dihanyutkan arus deras.
Longkang tersebut jika dipenuhi air akibat hujan lebat mampu menghanyutkan William yang dianggarkan seberat 15 kilogram, menuju ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang sejauh 30 kilometer dalam tempoh setengah jam.
Kosmo! Ahad difahamkan, dua hari selepas kehilangan kanak-kanak itu iaitu pada 18 Januari lalu, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat.
Pemeriksaan mendapati parit di kawasan tersebut bersambung dengan sebatang longkang di Kampung Bukit Lanchong, sebelum ia bersambung pula dengan Sungai Klang yang mengalir ke Pelabuhan Klang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, adalah tidak mustahil mangsa terjatuh ke dalam longkang.
"Tinjauan mendapati ada sistem longkang yang tidak bertutup kira-kira 200 meter dari lokasi William hilang.
"Situasi itu boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu.
"Oleh itu, kemungkinan mangsa terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tetap ada, lebih-lebih lagi dua hari selepas mangsa hilang, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan bersama hampir 30 anggota polis dan kakitangan JPS di sekitar lokasi William hilang.
William, anak kedua daripada tiga beradik dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights selepas mangsa dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.
Kelmarin, ibu bapa kanak-kanak itu mengenal pasti mayat budak lelaki yang dijumpai terapung dan mereput di Jeti Sungai Sireh adalah anak mereka.
Pengecaman itu berdasarkan kesan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi kanak-kanak itu yang mempunyai persamaan dengan William.
Selain itu, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, yang hadir di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang turut mengesahkan seluar pendek dan seluar dalam pada mayat kanak-kanak itu kepunyaan anak mereka.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, terjatuh ke dalam longkang adalah antara kemungkinan yang sedang disiasat oleh pihaknya.
"Perkara itu masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan kerana siasatan dijalankan daripada semua sudut," ujarnya.
Selain kemungkinan terjatuh, kematian kanak-kanak itu juga turut dikaitkan dengan perlakuan jenayah apabila mangsa dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai.
Bagaimanapun, menurut Yahaya, bedah siasat menunjukkan tiada unsur jenayah berikutan tiada kecederaan luaran ditemui pada tubuh si mati.
Kata beliau, pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada penduduk sekitar tempat kejadian bagi mengetahui bagaimana anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui di Jeti Sungai Sireh.
Yahaya juga tidak menolak untuk mengambil semula keterangan daripada pihak keluarga mangsa termasuk ibu bapa William selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui pada Selasa ini.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kanak-kanak itu masih ditempatkan di HTAR.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2J7ZucNrn 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment