KUALA TERENGGANU - Gara-gara bergaduh dengan menggunakan buku lima dan sebatang besi, dua beradik ditahan polis manakala seorang lagi rakannya kini sedang dikesan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian berlaku pada 27 Januari lalu, kira-kira jam 1.30 pagi, berhampiran sebuah pasaraya di Tanjung, di sini.
Menurutnya, ketika kejadian, pengadu dan abang iparnya berada di tepi pasaraya berkenaan dan hendak menunggang motosikal untuk pulang.
“Berdasarkan laporan awal, tiba-tiba mereka didatangi seorang lelaki yang dikenali sebagai Udi yang kemudiannya telah menendang motosikal mereka, lalu terjatuh.
“Kemudian, datang orang yang dikenali sebagai Kosa dan adiknya, dengan memegang buku lima dan sebatang besi. Mereka bertindak menyerang pengadu dan abang ipar pengadu.
Setelah beberapa minit dipukul oleh ketiga-tiga suspek, abang ipar pengadu berjaya melarikan diri, diikuti oleh pengadu,” katanya.

Akibat pukulan itu, pengadu mengalami luka di kaki kiri, lengan kiri, telinga kiri dan mata kiri manakala abang ipar pengadu luka di bahagian kiri kepala.
Bertindak daripada laporan itu, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu telah membuat tangkapan terhadap dua beradik, yang masing-masing berumur 22 dan 28 tahun.
Kedua-dua suspek ditangkap kelmarin dan direman selama empat hari, bermula semalam manakala seorang lagi suspek masih lagi dikesan. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.