Search This Blog

Tuesday, January 1, 2013

Bedah tangan segera


KUALA LUMPUR: Bayi perempuan berusia setahun yang dipercayai didera bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu menjalani pembedahan tangan kanannya dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan doktor yang merawatnya kepada bekas pengasuh bayi berkenaan yang dikenali sebagai Ran, 35, sebaik bayi itu dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Menurutnya, dia lega dan gembira kerana bayi malang yang dipanggil Pria itu kini selamat berada di bawah pengawasan pihak hospital.
“Saya dan suami harap dapat mengambil Pria sebagai anak angkat atau sekurang-kurangnya diberi hak penjagaan sementara bapanya menjalani hukuman penjara.

“Dia (Pria) masih kecil dan memerlukan kasih sayang ibu bapa, saya bimbang apa yang berlaku kepadanya memberi kesan negatif dalam proses tumbesarannya,” katanya.

Katanya, selain patah siku, pergelangan tangan kanan bayi itu juga disahkan retak menyebabkan dia tidak mampu menggerakkan anggota berkenaan.
“Ada kesan luka yang masih baru di kelopak mata sebelah kanan selain kesan luka lama di seluruh badan dipercayai kesan dicubit dan dipukul dengan benda tumpul,” katanya.

Menurut Ran, dia menerima panggilan telefon daripada bapa ayam yang dipercayai mendera bayi malang itu jam 8 pagi semalam memaklumkan mangsa sudah berada di hospital.
“Sebelum itu, saya bersama adik lelaki pergi ke rumah lelaki terbabit dan merayu agar menyerahkan Pria kepada kami selain memberitahu kami sudah membuat laporan polis.

“Mungkin atas alasan itu, lelaki berkenaan segera menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon,” katanya.

Katanya, lelaki itu juga memaksa dia menarik balik laporan polis yang dibuat selain mengugut mencederakannya sekeluarga jika keselamatannya terancam.

Laporan muka depan Harian Metro semalam mendedahkan penderitaan yang ditanggung bayi berusia setahun terbabit akibat didera bapa ayam sejak dua minggu lalu selepas dibawa ibunya tinggal bersama lelaki terbabit.

Tangan kanan mangsa patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat.

Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.

Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment