Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Bayi koma digoncang bapa berang




Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan kini koma dan bertarung dengan maut, angkara bapanya yang dipercayai menggoncang anak kecil itu dengan kuat kerana berang selepas dia tidak berhenti menangis.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Kepong, di sini dan kecederaan mangsa dikesan selepas dibawa bapanya ke Hospital Selayang (HS) pada jam 8.30 malam kelmarin.


Menurut sumber, ketika membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, suspek yang berusia 20-an cuba menyembunyikan kesalahannya dengan memberitahu anaknya itu mengalami kesukaran bernafas akibat diserang sawan.

“Doktor segera memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum melakukan pemeriksaan menyeluruh, termasuk membuat imbasan X-ray.


“Hasil pemeriksaan, doktor mengesan wujud pendarahan di otak kiri serta kedua-dua mata mangsa dan kecederaan itu dipercayai disebabkan goncangan yang kuat,” katanya.


Menurutnya, mengesyaki ada unsur penderaan dan penganiayaan terhadap bayi terbabit, doktor yang melakukan pemeriksaan membuat laporan di Pondok Polis Hospital Selayang sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Kepong, di sini, untuk siasatan lanjut.

Sumber itu berkata, ibu mangsa memberitahu polis dia tidak melihat bagaimana suaminya mendera bayi mereka, namun percaya kejadian itu berlaku ketika dia berada di dapur dan mangsa berada bersama ayahnya di ruang tamu rumah mereka.


“Berdasarkan laporan perubatan yang dikeluarkan doktor berkenaan, polis kini berusaha mengesan bapa bayi terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment