Banjir gelombang kedua
Che Wan Razali menyelamatkan ayam kesayangannya daripada terperangkap dalam banjir.
Banjir gelombang kedua
Wan Jeriah bersama sebahagian anak-anak mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Balok.
KUANTAN - Seramai 59 mangsa banjir melibatkan  14 keluarga dari Kampung Haji Wan Musa, Batu 13, Jalan Pelabuhan dan Sungai Ular dekat sini terpaksa kembali ke pusat pemindahan banjir  selepas kawasan itu dinaiki air kali kedua, awal pagi semalam.

Kebanyakan mangsa dari Kampung Haji Wan Musa kembali ke rumah dua hari lalu selepas berada di pusat pemindahan  berikutan kejadian banjir kali pertama yang melanda daerah ini  sejak 26 Disember lalu.

Semua mangsa mengambil keputusan kembali ke pusat pemindahan selepas air naik sejak jam 5 pagi dan kawasan tersebut ditenggelami air sedalam kira-kira 1 meter sehingga jam 4 petang semalam.

Air paras dada di laman

Salah seorang mangsa, Wan Jeriah Wan Musa, 54 berkata, hujan yang turun berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan kawasan itu dinaiki air.

Menurutnya, air mula naik kira-kira jam 5 pagi dan mula masuk ke dalam rumah sejam kemudian.

“Paras air dalam rumah  mencapai paras betis manakala di kawasan halaman sehingga paras dada kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) lalu saya dan anak, Nor Anizawati Yusof, 31 mengambil keputusan untuk berpindah ke sini.

“Kami lega dapat kembali ke  rumah dua hari lalu tetapi kini (semalam) terpaksa kembali ke sini akibat kejadian banjir kali kedua ini,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Dewan Balok di sini, semalam.

Kata Wan Jeriah, boleh dikatakan setiap tahun penduduk kampung itu terpaksa berpindah akibat banjir dan tahun ini sudah dua kali mereka dilanda musibah itu.

“Masalah ini mungkin disebabkan perparitan yang tidak sempurna kerana tiada longkang di kawasan ini malah kalau ada pun sudah tertimbus,” katanya.

Datang sendiri ke pusat pemindahan

Sementara itu, bagi ibu kepada empat anak termasuk bayi berusia 3 bulan, Wan Shafariah Wan Osman, 30 berkata, dia bersama anaknya terpaksa kembali ke pusat pemindahan tersebut selepas rumah mereka turut ditenggelami air.

Menurutnya, pengalaman berdepan bencana banjir saban tahun menyebabkan mereka sekeluarga sentiasa bersedia dan tidak menunggu lama untuk berpindah.

“Dalam kejadian banjir lalu kami sempat menyelamatkan barang sebelum berpindah ke pusat pemindahan dan kali ini kami juga mengambil langkah sama walaupun agak berat untuk meninggalkan rumah kali kedua.

“Kami datang sendiri dan tidak menunggu bantuan kerana bimbang air naik dengan cepat dan boleh mengancam nyawa anak-anak,” katanya.

Dia berkata, penat membersihkan rumah belum hilang dan perkara sama terpaksa dilakukan selepas banjir itu surut kelak.

Dua laluan ditutup

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Balok, Mohd Zainul Ali, 66 berkata, semua mangsa berada di pusat itu sejak jam 11.30 pagi.

Menurutnya, kebanyakan mangsa datang sendiri ke pusat pemindahan bagaimanapun Angkatan Tentera Malaysia turut mengerahkan anggota bersama kenderaan bagi menghadapi kemungkinan sekiranya ada lagi mangsa yang terpaksa dipindahkan.

“Bagaimanapun sehingga jam 3 petang jumlah mangsa banjir tidak berubah tetapi ada kemungkinan akan bertambah jika hujan tidak berhenti.

“Setakat ini Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan masyarakat setempat tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selain itu beberapa agensi sukarela termasuk Rela, badan bukan kerajaan (NGO) dan JKKK turut membantu mangsa.

Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melaporkan sehingga jam 5 petang semalam, seramai 59 mangsa dari 14 keluarga berada di pusat pemindahan.

Daripada jumlah itu, 50 mangsa daripada 13 keluarga berada di Dewan Balok manakala sembilan sekeluarga kini berada di pusat pemindahan Sungai Ular.

Sehingga jam 5 petang juga, dua laluan terpaksa ditutup kepada kenderaan termasuk di Jalan Gebeng berhampiran Bulatan Jabor (sejak seminggu lalu) dan Kilometer 23,

Jalan Kuantan-Kemaman.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan dilanda banjir mendapati, ada beberapa penduduk berada di kediaman masing-masing untuk menjaga rumah dan menyelamatkan haiwan peliharaan bagaimanapun kebanyakan ahli keluarga lain sudah berada di pusat pemindahan.

Berikutan kejadian banjir di kawasan itu, keadaan lalu lintas agak terganggu apabila kenderaan kecil tidak dapat melaluinya malah ada beberapa buah kereta rosak selepas tersangkut dalam air.