'Balik sekejap pun jadilah'
Hamidah bersama Suhaimi menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan Suhaidi.
'Balik sekejap pun jadilah'
Suhaidi
PALONG - “ Balik sekejap pun jadilah, nak…. setidak-tidaknya terubat rindu mak ini,” luah seorang ibu empat cahaya mata yang masih menanti kepulangan anak sulungnya yang menghilangkan diri dari rumahnya Felda Palong Lapan di sini sejak dua tahun lalu.
Hamidah Chin, 55, berkata, dia tidak menyangka tegurannya kepada anak sulung, Suhaidi Shuid, 37 terkesan dan menjadi punca kehilangannya.

Menurutnya, Suhaidi membawa isteri dan dua anaknya keluar rumah selepas sambutan Aidiladha pada 2010.

“Ketika itu arwah suami, Shuid Husain masih ada namun, semasa ayahnya meninggal  hujung tahun lalu Suhaidi tidak pulang seolah-olah marah kepada kami yang memberi teguran kepadanya.

“Kali terakhir kami berjumpa bersama dia sekeluarga adalah pada Aidiladha tahun yang sama (2010).

“ Bagaimanapun, ketika arwah suami meninggal, bapa saudara Suhaidi iaitu Mohd Nayan Kassim, 53, dapat menghubungi Suhaidi selepas mencari nombor telefonnya dan memaklumkan kematian ayahnya,” katanya.

Hamidah berkata,  namun Suhaidi enggan pulang manakala berdasarkan semakan rekod laporan polis berkaitan kemalangan yang pernah dibuat Suhaidi Februari lalu, dia dipercayai pernah tinggal di Bagan Serai, Perak.

“Tetapi pencarian kami ke Bagan Serai hampa berikutan dia tidak lagi tinggal di situ. Bagaimanapun, teguran saya itu hanya untuk kebaikannya malah kini tidak tertanggung rindu kepadanya, " katanya.

Menurutnya, tidak pernah terdetik di hatinya untuk membenci mahupun marah terhadapnya (Suhaidi) bahkan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan anaknya itu dunia dan akhirat.

“Sementara mak masih ada, besar harapan agar Suhaidi pulang dan bersama sekeluarga seperti sebelumnya malahadiknya juga merinduinya,” katanya.

Hamidah juga membuat laporan polis berhubung kehilangan Suhaidi.

Orang ramai yang mengetahui di mana Suhaidi hubungi adiknya,  Suhaimi ditalian 019275278.