Arwah seperti di dunia lain
Gambar kenangan Mohd Alif Amirul (kanan) bersama adik-beradik dan saudaranya.
Arwah seperti di dunia lain
Gerakan mencari dan menyelamat sehingga jam 11 malam.
Arwah seperti di dunia lain
Abdul Azziz menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah
BACHOK - Hasrat seorang adik untuk berbual dengan abangnya tidak kesampaian, apabila abangnya dikatakan lemas di tali air berdekatan rumahnya kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Mayat  Mohd Alif Amirul Hafiz Zamara, 8, ditemui pada jam 3.45 pagi semalam.

Ibunya, Sumaria Mohamad, 30, berkata, tengah hari kelmarin anak bongsunya, Nur Alia Nastasya, 4, menyuruh dia menelefon Mohd Alif Amirul kerana ingin berbual dengannya.

Sumaria kemudiannya berjanji untuk menelefon anak sulungnya itu pada sebelah malam.

“Tidak sempat saya berbuat demikian, saya menerima panggilan daripada adik, Norhayati, 24, dari kampung yang memberitahu tragedi yang menimpa Alif,” katanya.

Mohd Alif anak sulung daripada tiga beradik itu dikatakan meminta tinggal dan bersekolah di kampung bersama sepupunya.

Dua lagi adik mangsa, Alia dan Mohd Alif Danial, 6, tinggal bersama ibu bapa mereka di Pelabuhan Klang.

Mayat mangsa hanya ditemui 10 minit selepas ketibaan ibu bapanya dari Selangor.

Mangsa ditemui di dasar tali air ketika penduduk menahan pukat untuk mencarinya selepas usaha  lebih tujuh jam menemui jalan buntu.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air oleh penduduk yang memasang pukat untuk mencarinya.

Bersama dua sepupunya

Manakala, datuk mangsa, Mohamad Nik Bedllah, 57, berkata, arwah bersama dua sepupunya, Nik Azura Yanti Nik Azli, 10, Nik Najwa Eliana, 11 dikatakan dalam perjalanan pulang bersama sepupunya pada jam 6 petang.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan anak. Saya bergegas pulang dan terus terjun ke tali air.

“Ketika itu air lebih dua meter dan berkali-kali saya menyelam tetapi gagal mengesan mangsa,” katanya.

Menurut nenek mangsa, Nafisah Arifin, 55, cucunya itu keluar untuk ke sekolahnya pada awal pagi dan terus ke kelas mengaji pada waktu petang.

“Ketika kejadian, dia bersama dua lagi sepupunya menyeberangi  jambatan di kawasan tali air dan dipercayai tergelincir serta bergegas memberitahu jiran yang kemudian memaklumkan kepada saya.

“Terkejut selepas menerima berita itu saya terus ke tali air tetapi tidak nampak kelibat Alif di kawasan itu,” katanya.

Nafisah berkata, cucunya itu merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan sudah dua tahun tinggal bersamanya, manakala ibu bapa dan dua lagi adiknya berada di Selangor.

Arwah kelihatan pendiam

Mohamad yang lebih dikenali Pak Husin berkata, sehari sebelum kejadian, arwah kelihatan sugul dan pendiam.

Arwah juga tidur awal malam sebelum kejadian, sedangkan lazimnya arwah tidur lewat kerana bermain permainan video.

“Pagi keesokan harinya dia seperti berada dalam dunia lain. Duit belanja sekolah juga tidak diambil.

“Selepas pulang dari sekolah dia juga tertinggal botol air dan beberapa buku di sekolahnya, sehingga guru menghubungi saya memaklumkan barang yang tertinggal,” katanya.

Nik Najwa Ilyana dan Nik Azurayanti berkata, ketika itu arwah berjalan di hadapan mereka dan tiba-tiba dia terjatuh ke dalam tali air.

“Kami segera memberitahu jiran berdekatan sebelum pulang memberitahu ahli keluarga lain di rumah.

“Memang setiap hari kami melalui jambatan kecil itu untuk ke kelas mengaji al-Quran. Tetapi kali ini nasibnya malang kerana terjatuh,” katanya.

Sementara itu, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir turut hadir menziarahi dan menghulurkan sumbangan untuk keluarga mangsa.

Difahamkan, lokasi tali air itu sering meragut nyawa kanak-kanak.

Libatkan 25 anggota bomba

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Abdul Jalil Ishak, ketika ditemui dalam operasi mencari mangsa kelmarin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 6.45 petang dan menurunkan 25 anggota
bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ketereh, dan Kota Bharu.

Abdul Jalil berkata, gerakan mencari Mohamad Alif dimulakan pada jam 8 malam dan operasi dihentikan pada jam 11 malam.

“Sepatutnya operasi mencari mangsa disambung pada jam 8.30 pagi tadi (semalam) tetapi mayat kanak-kanak tersebut ditemui pada jam 3.45 pagi.

“Mayatnya ditemui kira-kira pada jam 3.45 pagi selepas dia didapati tersangkut di pukat penduduk yang menangkap ikan kira-kira 500 meter daripada tempat dia terjatuh,” kata Abdul Jalil.

Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak itu ditemui 10 minit selepas ibu dan bapanya, Zamara Said, dan Sumaria Mohammad, tiba di tempat kejadian.

Katanya, operasi mencari mangsa yang terjatuh dalam tali air itu turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) daripada Kota Bharu dan pasukan bomba sukarela.

“Usaha cari mangsa terus dilakukan sebaik tiba di tempat kejadian dan ditangguhkan pada jam 11 pagi sebelum operasi disambung jam 8.30 pagi (Rabu) jika mangsa belum ditemui,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Katanya, mayat murid tahun da Sekolah Kebangsaan Pak Badol itu ditemui jam 3.45 pagi oleh penduduk.

“Seramai 10 polis dari Balai Polis Gunung ditugaskan dalam operasi berkenan dan kes diklasifikasikan sebagai mati lemas,” katanya.

Ab Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat.