Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Anggota polis maut kereta dirempuh lori



Keadaan kereta yang dinaiki empat anggota polis  remuk teruk selepas bertembung dengan lori di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, semalam. - Foto L Manimaran 

Keadaan kereta yang dinaiki empat anggota polis remuk teruk selepas bertembung dengan lori di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, semalam. - Foto L Manimaran
Slim River: Seorang anggota polis terbunuh manakala tiga lagi termasuk dua pegawai cedera selepas kereta Proton Waja yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 112, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Klant Halt, Behrang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam ketika hujan lebat itu, mereka dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dalam penugasan sempena lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanjung Malim, semalam.
Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah Lans Koperal Zamri Hashim, 55, manakala yang parah, Koperal Khairul Anuar Napi berusia 29 tahun. Dua lagi pegawai iaitu Pemangku Asisten Superintendan Mahazir Ahmad, 36 dan Inspektor Mohd Khairul Azhar Abdul Halim, cedera ringan.
Sebelum kejadian, kami berempat sedang berbual sebelum terdengar arwah (Zamri) menjerit dan melaungkan ‘Allahu Akbar’. Arwah dilihat cuba mengelak sesuatu dengan memusingkan stereng ke kiri," Mahazir, Mangsa terselamat

Hilang kawalan

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan mangsa cuba mengelak ke kiri jalan sebelum bertembung lori itu.

“Zamri maut di tempat kejadian manakala Khairul Anuar yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk rawatan lanjut.

“Dua pegawai yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Slim River dan masing-masing sudah dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan,” katanya.
Katanya, pemandu lori terbabit berusia 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan semalam.

Sementara itu, Mahazir yang terselamat dalam nahas itu berkata, kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan keadaan gelap menyebabkan kenderaan yang dinaiki mereka sukar dikawal.

Cuba mengelak

“Sebelum kejadian, kami berempat sedang berbual sebelum terdengar arwah (Zamri) menjerit dan melaungkan ‘Allahu Akbar’. Arwah dilihat cuba mengelak sesuatu dengan memusingkan stereng ke kiri.

“Ketika itu saya sempat melihat satu objek hitam meluru ke arah kenderaan kami sebelum terdengar dentuman kuat. Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya melihat kepala arwah terkulai pada bahu saya, manakala dua lagi rakan di belakang tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, dia cuba mengejutkan kesemua rakannya tetapi tiada tindak balas menyebabkan dia terpaksa menggagahkan diri keluar dari kenderaan untuk meminta bantuan.

"Ketika itu, saya masih tidak tahu arwah sudah tiada sehingga dimaklumkan anggota penyelamat. Kami kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," katanya yang turut memberitahu arwah sangat periang sebelum terbabit kemalangan.

Anak bongsu Zamri, Mohd Iqbal, 19, yang mengikuti Diploma Pengajian Video dan Filem di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menghubungi bapanya malam kelmarin, walaupun ingin berbuat demikian.

"Kali terakhir saya menemui ayah pada Hari Raya tahun lalu. Biasanya, saya sentiasa menghubungi arwah bertanya khabar, namun semalam (kelmarin) tidak sempat berbuat demikian sehinggalah saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan ayah terbabit kemalangan dan meninggal dunia.

"Saya seakan tidak percaya kerana baru dua hari lalu berbual dengan ayah, namun hari ini saya sudah kehilangannya buat selama-lamanya. Namun, saya reda menerima takdir ini," katanya ketika ditemui di kuarters sama, semalam.

Jenazah Zamri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terengganu, Teluk Intan, kira-kira jam 10 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment