Ambil dadah kerana kawan baik
Shariman (kiri) dibawa keluar anggota polis selepas didakwa atas kesalahan mengambil dada
GEORGETOWN - Tiga sahabat baik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown atas kesalahan mengambil dadah.

Ketiga-tiganya, Ariffin Ali 45, Ibrahim Ahmad, 46, dan Shariman Mohd, 36, didakwa mengambil dadah di atas tangga tingkat 10 di sebuah perumahan di Jelutong.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 24 Disember 2012 pada jam 9 malam.

Mengikut pertuduhan, Ariffin, Ibrahim dan Shariman didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 0.1 gram dan atas sebab itu mereka didapati melakukan kesalahan mengikut  Seksyen 12 (2) Akta Dadah  Berbahaya 1952 (Semakan 1980) dan boleh dihukum dan dibaca di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh yang juga tinggal di perumahan yang sama itu mengaku bersalah dan hanya tertunduk sepanjang pertuduhan dibacakan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, kesemua juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Ia berikutan kesemua tertuduh didakwa didapati memberikan diri sendiri dadah jenis morfin di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 24 Disember 2012 pada jam kira-kira jam 9.15 malam.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.

Majistret kemudiannya melepaskan kesemua tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM2,500 setiap seorang bagi pertuduhan pertama sementara RM2,000 bagi kesalahan kedua.

Kes akan dibicarakan semula sementara menunggu laporan patologi.