Search This Blog

Friday, January 25, 2013

Ahli perniagaan buruan polis Filipina ditahan


Pengasas Aman Futures disyaki dalang kes penipuan skim piramid

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan Malaysia yang diburu Polis Filipina selepas disyaki mendalangi kegiatan penipuan membabitkan kerugian ratusan juta ringgit di negara itu dilaporkan ditahan pihak berkuasa Malaysia di Sabah, Selasa lalu.
Media Filipina melaporkan ahli perniagaan terbabit, Mohammad Suffian Saaid, 32, atau lebih dikenali sebagai Manuel K Amalilio di Filipina, ditahan pihak berkuasa imigresen kerana menggunakan pasport palsu.

Beliau adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Futures Group Phils Inc (Aman Futures), sebuah syarikat pelaburan berteraskan skim piramid dengan operasi perniagaan bertumpu di Filipina.

15,000 pelanggan ditipu

Suffian disyaki menggunakan skim itu untuk menipu kira-kira 15,000 pelabur di negara berkenaan, melabur di syarikatnya menyebabkan kebanyakan mereka menanggung kerugian besar dan dibebani hutang bank.

Penolong Pengarah Khidmat Operasi Serantau Biro Penyiasatan Nasional (NBI) Filipina, Virgilio Mendez, dipetik sebagai berkata, beberapa mangsa penipuan Aman Futures turut merancang mahu bersemuka dengan Amalilio di Sabah.
Katanya, empat ahli pasukan NBI turut disediakan bagi menyelaras usaha membawa Suffian ke negara berkenaan dengan pihak berkuasa imigresen di negara ini.

Suffian dipercayai melarikan diri ke Malaysia akhir tahun lalu selepas syarikatnya dikaitkan dengan kes penipuan di Filipina yang bernilai ratusan juta ringgit.

Syarikatnya didakwa memperdaya mangsa dengan menawarkan keuntungan pelaburan antara 20 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh lapan hingga 20 hari.

Selain Suffian, turut diburu enam lagi eksekutif kanan syarikat itu termasuk Fernando Nonoy Luna, Lelian Lim Gan, Edward L Lim, William L Fuentes, Naezelle M Rodriguez dan Lurix Lopez. Pihak berkuasa turut mengesahkan syarikat itu beroperasi tanpa permit.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Mohammad Mentek, ketika dihubungi BH semalam, enggan mengulas lanjut.

Pada November lalu, BH melaporkan Suffian diburu Polis Filipina selepas disyaki mendalangi kegiatan penipuan di negara jiran itu membabitkan kerugian ratusan juta ringgit.

Beliau yang juga lebih dikenali Manuel K Amalilio di Filipina, dipercayai bersembunyi di Kota Kinabalu, Sabah selepas meloloskan diri dari Mindanao apabila skim pelaburan haramnya terbongkar.

No comments:

Post a Comment