6,000 liter diesel dirampas
Farah Adlina (kanan) bersama beberapa pegawainya ketika menunjukkan satu saluran taip ke tangki minyak yang telah diubah suai.
6,000 liter diesel dirampas
Tangki yang ditutup menggunakan kanvas bertujuan bagi mengelak daripada disyaki pihak berkuasa.
TAIPING – Cubaan pemandu lori membawa muatan minyak diesel bersubsidi melarikan diri gagal setelah dikejar anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Taiping, 14 Januari lalu.

Ketua Cawangannya, Farah Adlina Ropaie berkata, rampasan sebanyak 6,000 liter minyak diesel bersubsidi itu dibuat kira-kira jam 9 malam, oleh sepasukan anggota PPDNKK diketuai Pembantu Penguatkuasa, Ahmad Zakhiri Mohd dalam operasi membanteras penyelewengan minyak diesel.

"Dalam operasi ini seorang pemandu lori berusia lingkungan 30-an berjaya ditahan di Jalan Teluk Kertang, Kuala Sepetang.

“Malah pemandu ini cuba melarikan diri dan anggota kami terpaksa mengejar sejauh dua kilometer sebelum pemandu ini berhenti di bahu jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, tangki lori itu telah diubahsuai dan sejumlah minyak diesel sebanyak 6,000 liter ditemui.

“Rampasan minyak diesel ini dianggarkan RM16,200, dan nilai rampasan keseluruhan bagi kes ini adalah sebanyak RM20,000,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Buat masa ini pemandu lori berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara," katanya.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan sehingga kini masih tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Di samping itu, kita juga yakin bahawa minyak diesel berkenaan adalah untuk dijual kepada pihak industri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah Adlina berkata, sehingga semalam, sebanyak 21 kes direkodkan PPDNKK Cawangan Taiping.

Tambahnya, dalam masa sama, diharapkan orang ramai dapat memberikan maklumat berhubung kes-kes penyelewengan minyak diesel dan lain-lain kes berkaitan dengan PPDNKK Cawangan Taiping.

“Kegiatan seumpama ini sebenarnya amat merugikan pihak kerajaan dan kita akan terus meningkatkan usaha membanteras penyelewengan sehingga ke akar umbi,” katanya.