Search This Blog

Friday, January 25, 2013

6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat



abdul RAHIM (dua dari kanan) menunjukkan gambar bayi yang diselamatkan serta surat kelahiran yang dirampas hasil operasi ke atas sindiket menjual bayi di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang melumpuhkan satu sindiket penjualan bayi terbesar di negara ini ekoran penahanan 33 individu sebelum berjaya menyelamatkan enam bayi dan tiga kanak-kanak yang sudah dijual kepada keluarga angkat masing-masing dalam beberapa serbuan bermula Disember tahun lalu sehingga kelmarin.
Ahli sindiket menjual bayi yang ditahan berusia antara 23 tahun dan 62 tahun dan ada antara mereka merupakan kakitangan awam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta doktor di pusat perubatan swasta.
Enam bayi dan tiga kanak-kanak yang diselamatkan itu terdiri daripada tiga lelaki dan enam perempuan. Mereka pula dipercayai melibatkan tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang rakyat tempatan dan seorang lagi warga Bangladesh.
Difahamkan, kesemua bayi dan kanak-kanak berkenaan dijual kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat pada harga RM18,000 hingga RM30,000 setiap seorang. Bayi yang dijual pada harga RM30,000 mempunyai sijil kelahiran, MyKid dan surat kesihatan.
Bagaimanapun, penetapan harga bayi juga boleh ditentukan mengikut rupa paras, warna kulit dan jantina bayi terbabit.
Kegiatan sindiket yang didalangi seorang wanita Cina tempatan berusia 50-an yang turut ditahan itu mendapat bekalan bayi untuk dijual dengan menyasarkan wanita Indonesia dan Thailand yang hamil anak luar nikah atau mengalami kesempitan wang.
Ibu yang mengandung dan bekerja di negara ini dikatakan sanggup menjual bayi masing-masing bagi mendapatkan wang.
Sindiket terbabit disyaki mendapatkan maklumat mengenai wanita hamil termasuk yang mahu menggugurkan kandungan daripada doktor di sebuah klinik swasta di sini.
Dalang dan doktor di klinik swasta itu akan bekerjasama dalam urusan pengumpulan maklumat ibu mengandung warga asing yang mendapatkan rawatan susulan di klinik tersebut.
Kakitangan di JPN yang mengurus proses pengeluaran sijil kelahiran turut diberi sejumlah wang.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kegiatan sindiket itu dikesan selepas polis menerima laporan pada awal Disember 2012 mengenai penjualan seorang bayi berusia 40 hari pada harga RM4,300 oleh seorang wanita warga asing.
“Daripada maklumat itu polis melalui Ops Pintas Sayang membongkar satu sindiket jual bayi yang bergerak aktif sejak tahun 2009 sebelum berjaya menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak yang berada di negeri ini, Kedah dan Perak,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, seramai 33 orang yang terdiri daripada 22 suspek berketurunan Cina, enam India, seorang Melayu, seorang rakyat Thailand dan tiga warga Indonesia itu diberkas.
“Sindiket ini hanya membayar kepada ibu mengandung yang tidak mahu bayi mereka antara RM2,500 hingga RM4,500,” katanya.
Mereka yang diberkas ada yang bekerja sebagai ahli perniagaan, pekerja kilang dan seorang kakitangan JPN.
Abdul Rahim memberitahu, dalam siri serbuan itu, polis merampas 19 buah telefon bimbit, dua buah kereta, lima MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 kad perubatan dan wang tunai berjumlah RM15,000.
Kesemua yang ditahan direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2IwGdRyyD 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment