Search This Blog

Sunday, January 27, 2013

54 banduan korban rusuhan di penjara



Caracas: Media Venezuela semalam melaporkan, puluhan banduan terbunuh dalam rusuhan di penjara.

Sehubungan itu, Naib Presiden Nicolas Maduro berkata, kerajaan sudah mula melancarkan siasatan terhadap kejadian yang disifatkannya sebagai peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku. Beliau dan pegawai lain tidak menyebut jumlah kematian dalam rusuhan di Penjara Uribana di tengah bandar raya Barquisimeto itu.


Bagaimanapun, akhbar Ultimas Noticias melaporkan dalam laman webnya, 54 banduan mati. Rangkaian televisyen Globovision pula melaporkan seramai 50 orang terbunuh. Kedua-dua media memetik kenyataan Ruy Medina, Pengarah Hospital Pusat di bandar raya itu. Medina, dalam kenyataannya juga berkata, puluhan banduan turut cedera.

Menteri Perkhidmatan Penjara, Iris Barela berkata, rusuhan meletus apabila sekumpulan banduan menyerang anggota Pengawal Kebangsaan yang cuba melakukan pemeriksaan.


Katanya, pihak berkuasa akan menanti sehingga keadaan terkawal untuk menentukan jumlah korban sebenar. Kerajaan mengambil keputusan menghantar tentera untuk memeriksa penjara itu selepas menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan banduan sejak dua hari lalu.


Pemimpin pembangkang, Henrique Capriles mengecam cara kerajaan menguruskan kesesakan dan keganasan di penjara negara itu.

“Penjara negara kita adalah contoh ketidakmampuan kerajaan dan pemimpinnya. Mereka tidak pernah dapat menyelesaikan masalah itu. Berapa banyak lagi kematian di penjara perlu berlaku sebelum kerajaan mengaku kegagalannya dan membuat perubahan?” kata Capriles dalam Twitternya.


Venezuela terkenal kerana keadaan teruk di penjaranya. Kesesakan di penjara negara itu adalah antara yang paling buruk di Amerika Latin.

Terdapat kira-kira 50,000 banduan ditahan dipenjara yang dibina untuk memuatkan 14,000 orang. - AFP

No comments:

Post a Comment