Search This Blog

Friday, January 18, 2013

45,000 liter diesel dirampas di Port Dickson



PORT DICKSON: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan merampas 45,000 liter diesel dari sebuah pusat pemborong minyak yang terletak di belakang sebuah stesen minyak di Lukut dekat sini, semalam.

Pengarah PPDNKK Negeri, Mohd Talal Abu Bakar berkata premis itu didapati menjual diesel bersubsidi kepada industri di bawah harga yang ditetapkan.
"Nilai rampasan dianggarkan RM90,000 selain turut disita tiga buah lori tangki yang dipercayai digunakan untuk membeli dan menjual semula bahan api itu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, pemilik premis yang berumur 32 tahun dan seorang pemandu lori yang berumur 30 tahun turut ditahan.


"Siasatan lanjut menemui beberapa tangki besar yang dipercayai menjadi tempat simpanan diesel selain tiga buah lori tangki yang diubah suai untuk membeli minyak.


"Modus operandi mereka ialah lori tangki akan bergerak mengambil minyak diesel secara sedikit-sedikit di stesen-stesen minyak dan kemudian berpatah balik ke tempat pengumpulan," katanya.

Mohd Talal berkata ia merupakan rampasan diesel pertama di negeri ini tahun ini dan yakin beberapa rampasan lagi akan dilakukan dalam masa terdekat. - Bernama

No comments:

Post a Comment