Search This Blog

Wednesday, January 16, 2013

2 kereta api berlanggar, 19 maut

Orang ramai melihat keadaan kereta api penumpang yang remuk selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta api yang dinaiki oleh askar Mesir di kawasan penempatan Badrasheen, Giza kira-kira 40 kilometer di selatan Kaherah, semalam. - REUTERS
KAHERAH 15 Jan. - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera apabila dua kereta api penumpang bertembung di selatan ibu negara Mesir di sini, tengah malam semalam.
Agensi berita MENA yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan berkata, seramai 107 orang yang cedera kini dirawat di beberapa hospital berdekatan lokasi kejadian, yang berlaku di kawasan penempatan Badrasheen, Giza.
Angka korban dijangka meningkat.
Akhbar Ahram dalam versi dalam taliannya melaporkan, sebuah kereta api yang mempunyai 12 gerabak itu dalam perjalanan membawa 1,328 askar Mesir menuju ke utara Kaherah dari Assiut sebelum berlanggar dengan sebuah lagi kereta api penumpang.
Imej yang diambil daripada siaran satelit Mesir menunjukkan penduduk tempatan menggunakan lampu suluh untuk membantu pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bawah serpihan besi kereta api.
Seorang mangsa yang terselamat, Roy Hamad Gaafar berkata, dia dapat melihat beberapa rakannya yang terjatuh dan terbunuh apabila dua gerabak terakhir terpisah sebelum tergelincir.
"Saya hanya mampu melihat cebisan badan kawan-kawan saya di atas landasan kereta api selepas kemalangan tersebut," katanya.
Kemalangan tersebut berlaku kurang dua minggu selepas Menteri Pengangkutan baharu dilantik untuk memperkemaskan sistem kereta api dan hanya dua bulan selepas berlaku kemalangan maut membabitkan sebuah kereta api dan bas sekolah.
Presiden Mesir, Mohammed Mursi menamakan Dr. Hatem Abdellatif sebagai Menteri Pengangkutan baharu pada 6 Januari lalu sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan sistem perkhidmatan kereta api.
Pada November lalu, seramai 49 kanak-kanak terbunuh selepas bas yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta api, menyebabkan Menteri Pengangkutan ketika itu, Rashad al-Metini meletakkan jawatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130116/lu_01/2-kereta-api-berlanggar-19-maut#ixzz2I9T7oCh6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment