Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

19 PATI warga Myanmar diberkas UPP


19 PATI warga Myanmar diberkas UPP

SEBAHAGIAN daripada 19 PATI Myanmar yang duduk berhimpit-himpit dalam kereta ditahan oleh UPP di Jalan Menerong, Titi Tinggi di Padang Besar, Perlis, semalam.
KANGAR 5 Jan. - Hasrat 19 lelaki warga Myanmar untuk masuk ke negara ini secara haram tidak kesampaian meskipun mereka sanggup duduk berhimpit-himpit dalam dua buah kereta.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri, Asisten Supritendan Bahari Ahmad berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan selepas pihaknya menahan dan memeriksa dua buah kereta dinaiki pendatang asing tanpa izin (PATI) itu kira-kira pukul 2 pagi ini.
"Kemasukan PATI ini berjaya dikesan sepasukan anggota UPP yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Menerong di Titi Tinggi, Padang Besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan UPP yang terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja berwarna perak itu kemudian bertindak mengejar kenderaan tersebut selepas mengesyaki kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kereta tersebut ditahan selepas terlibat dalam kemalangan kecil selepas dikejar. Ketika diperiksa, pihaknya menemui 11 warga Myanmar berhimpit-himpit dalam kenderaan itu termasuk di bahagian but.
Bahari memberitahu, pihaknya kemudian menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang mengekori belakang kereta Waja tersebut.
Katanya, selepas ditahan dan diperiksa, terdapat lapan warga Myanmar dalam keadaan bersesak dalam kereta berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pemandu kedua-dua kereta berkenaan sempat melarikan diri dalam suasana gelap di Kampung Titi Tinggi.
Beliau berkata, kesemua PATI itu dibawa ke Kompleks UPP Padang Besar untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.
Katanya, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130106/je_02/19-PATI-warga-Myanmar-diberkas-UPP#ixzz2HCZ3IDw3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment