12 GRO, pemilik kelab malam ditahan polis
Cubaan wanita GRO berusia awal 20-an dan 30-an ini mengelak daripada ditahan polis tidak berjaya
PETALING JAYA - Usaha 12 GRO meloloskan diri dengan dibantu pengawal kelab malam tidak berjaya apabila mereka dicekup dalam operasi Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPD Petaling Jaya bersama Balai Polis Damansara Utama di Damansara Perdana dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, semua wanita terbabit berlari ke kawasan parkir untuk menaiki kenderaan yang sedia membawa mereka keluar.

Menurutnya, tiga daripada pelayan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, manakala selebihnya masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kita turut menahan lima pengawal kelab malam, berusia awal 30an, kerana membantu GRO terbabit melarikan diri,” katanya.

Dalam operasi yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Nazri Daut itu, polis turut menahan pemilik kelab malam berkenaan dan seorang pekerja warga asing.

“Pemeriksaan mendapati lesen kelab malam ini yang didaftarkan atas nama seorang warga tempatan yang sudah tamat tempoh,” katanya.

Menurut Arjunaidi, ke semua mereka ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963, iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 55(b), iaitu kesalahan mengambil atau menggaji warga asing yang tidak memiliki pas.