Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

110 ketulan mampat ganja dirampas



 
Georgetown: Polis merampas 110 ketulan mampat ganja bernilai RM330,000 yang ditemui dalam sebuah kereta di Taman Desa Embun Emas, Tanjung Tokong di sini, semalam.

Ketulan ganja mampat seberat kira-kira 110 kilogram itu ditemui pada jam 4.45 pagi selepas polis curiga dengan tindak-tanduk dua lelaki yang dilihat menutup but kereta dalam keadaan tergesa-gesa.
Difahamkan, ketika itu dua lelaki terbabit tidak menyedari gerak-geri mereka diperhatikan sepasukan polis yang kemudian menghampiri mereka sebelum suspek bertempiaran lari ke dalam hutan berhampiran kawasan terbabit.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan seorang daripadanya selepas gerakan mengesan dilancarkan dengan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata polis melakukan serbuan selepas mendapat maklumat daripada orang awam yang melihat ada kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Susulan itu polis melakukan serbuan namun dua suspek terbabit melarikan diri ke hutan berhampiran, bagaimanapun seorang daripadanya yang berusia lingkungan 40-an ditahan tidak lama kemudian.

“Seorang lagi suspek masih diburu dan hasil pemeriksaan dalam kereta Honda City berwarna perak yang ditinggalkan suspek, kami menemui 110 ketulan ganja mampat.
“Selain kereta Honda City terbabit, suspek turut meninggalkan sebuah lagi kereta iaitu

Toyota Camry hitam dan hasil semakan mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kami percaya, ganja terbabit adalah untuk diedarkan di pasaran tempatan namun siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan,” katanya.

Semakan awal juga mendapati suspek yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah lampau berhubung kesalahan dadah dan satu rekod jenayah kerana mencuri.

No comments:

Post a Comment