Chang Keong (kanan) menunjukkan dua buah kamera yang dicuri suspek dalam kejadian pecah masuk kedai dua hari lalu
IPOH – Seorang lelaki diberkas ketika cuba melarikan diri selepas terkejut bunyi loceng kecemasan ketika memecah masuk sebuah premis menjual barangan pencetakan di Taman Ipoh Timur dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan anggota yang kebetulan meronda di kawasan tersebut selepas satu pergelutan kecil dalam cubaan lelaki terbabit meloloskan diri.
“Suspek berjaya ditangkap dan kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang media di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil tangkapan tersebut, polis menemui beberapa buah kamera yang diambil dari kedai berkenaan dan juga pemutar skru yang digunakan sebagai alat untuk memecah masuk kedai.
Katanya, nilai barangan yang dicuri dianggarkan RM800 dan hasil siasatan awal mendapati suspek pernah terlibat dalam beberapa kes pecah masuk rumah dan kedai di sekitar Ipoh.
“Daripada perbandingan cap jari, terdapat persamaan dengan satu kes di Ipoh. Suspek turut mengaku melakukan lapan kes pecah masuk sebelum ini.
“Suspek juga pernah terlibat dengan tiga kes dadah dan difahamkan pernah dituduh di mahkamah tetapi tidak hadir,” katanya.
Chang Keong berkata, suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama empat hari bermula kelmarin hingga 13 Disember 2012.
Dalam perkembangan lain, tiga anggota yang berjaya menangkap suspek telah diberikan surat penghargaan kerana bertindak cekap dan pantas dalam usaha memerangi penjenayah.
'via Blog this'