KUALA LUMPUR 25 Okt. - Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes 1,407 unit telefon pintar bernilai lebih RM3.23 juta milik syarikat pengeluar telefon jenama terkenal yang dilaporkan hilang dari sebuah gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, tujuh yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan.
"Setakat ini, polis sudah memberkas tujuh individu termasuk dua kakitangan syarikat pengangkutan kargo bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kehilangan 1,407 unit telefon pintar keluaran terbaharu sebuah syarikat telefon antarabangsa yang disimpan di sebuah gudang di KLIA pada minggu lalu.
Gajet yang dijual lebih RM2,000 seunit itu dipercayai hilang setelah dua atau tiga hari disimpan di gudang penyimpanan berkenaan.
Kehilangan gajet tersebut hanya disedari apabila syarikat pengedarnya di negara ini mahu mengambilnya dari gudang itu.
Penjenayah yang melarikan telefon pintar itu dipercayai menggunakan dokumen palsu bagi mengaburi kawalan keselamatan di gudang tersebut.
Menurut Mun Phing, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Beliau enggan mengulas lanjut kerana polis akan mengadakan sidang akhbar khas mengenai kes itu dalam tempoh terdekat bagaimanapun memberitahu, usaha mengesan telefon pintar yang hilang itu giat dijalankan.
Utusan Malaysia difahamkan, polis menemukan semula 44 unit gajet yang dicuri manakala 80 unit lagi disahkan sudah dijual.
Baki 1,283 gajet lagi belum ditemui dan tidak diketahui sama ada sudah dijual oleh penjenayah berkenaan atau disembunyikan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121026/je_02/Polis-tahan-tujuh-individu#ixzz2APjzNmeb
© Utusan Melayu (M) Bhd