MELAKA 21 Okt. - Seorang wanita berumur 28 tahun ditangkap khalwat bersama suami orang buat kali kedua dalam tempoh tidak sampai 12 bulan di rumahnya di Taman Semabok Jaya, di sini malam tadi.
Sepasukan pegawai syarak bersama beberapa penduduk kawasan perumahan itu dan anggota polis menangkap wanita berkenaan bersama seorang lelaki berumur 43 tahun di rumah wanita tersebut kira-kira pada pukul 8.30 malam.
Pegawai Syarak yang juga Imam Masjid Al-Abrar Semabok, Muhammad Taufik Khalil berkata, dia menerima panggilan telefon daripada penduduk taman itu pada waktu maghrib yang memaklumkan terdapat seorang lelaki bukan muhrim telah masuk ke rumah wanita yang masih belum berkahwin itu.
"Hasil daripada aduan itu, saya kemudian terus menghubungi Penguatkuasa Jabatan Agama Islam (JAIM) yang seterusnya meminta saya melakukan tangkapan dengan diiringi polis dan penduduk di kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Kandang, di sini, malam tadi.
Menurut Muhammad Taufik, apabila tiba di rumah wanita berkenaan, dia melihat seorang lelaki memakai seluar jeans dan berbaju gelap bersama seorang wanita berseluar panjang keluar melalui pintu hadapan rumah tersebut sebelum dipanggil.
"Sejurus selepas itu, pihaknya terus menahan pasangan tersebut yang disyaki berkhalwat di dalam rumah berkenaan atas ketiadaan kedua-dua ibu bapa wanita tersebut yang sedang menunaikan haji di Mekah," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, kedua-dua pasangan tersebut ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan-kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung yang mendatangkan syak.
"Hasil semakan mendapati pasangan itu turut pernah ditahan beberapa bulan lepas dan kes pertama mereka juga masih belum diselesaikan malah belum sempat untuk didakwa ke Mahkamah Syariah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121022/dn_11/Wanita-ditangkap-khalwat-kali-kedua#ixzz2A2dvzLa5
© Utusan Melayu (M) Bhd