BRICKFIELDS: Polis yang menyerbu sebuah hotel di Jalan Kuchai Maju, di sini, minggu lalu, bagi menahan seorang lelaki yang terbabit kes pecah rumah, turut menahan lapan lagi, termasuk dua wanita ketika semua mereka asyik berpesta dadah dalam bilik hotel berkenaan.
Berikutan penahanan itu, seorang lagi wanita ditahan di rumahnya di Keramat, dekat sini, kerana dipercayai menyimpan barang curi hasil pecah rumah lelaki terbabit yang disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan, sehari kemudian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis menyerbu bilik hotel berkenaan jam 3 pagi, 10 Oktober lalu, bagi menahan seorang lelaki yang dikehendaki kerana kes pecah rumah di Taman Desa, di sini, pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun, ketika serbuan, ada enam orang lagi termasuk dua wanita yang semua mereka asyik berpesta dadah.
“Selain menahan mereka termasuk penjenayah pecah rumah itu, polis merampas satu bekas plastik dipercayai berisi dadah jenis ketamin dan Eramin 5. Pemeriksaan lanjut menemui kereta Toyota Camry yang dilarikan dalam kejadian pecah rumah Taman Desa, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam