Keratan akhbar Utusan Malaysia 4 Oktober 2012.
SHAH ALAM 4 Okt. - Polis telah mengambil beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan kes rompakan sebuah van keselamatan yang membabitkan kehilangan wang tunai RM1 juta di hadapan sebuah kedai nombor ekor berhampiran pusat beli-belah di Klang Parade, Klang dekat sini semalam.
Rakaman CCTV tersebut antaranya diambil daripada kedai nombor ekor, pusat beli-belah Klang Parade dan rumah penduduk di Taman Eng Ann, Klang iaitu lokasi van tersebut yang masih berisi wang tunai RM500,000 dibakar oleh lima perompak terlibat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukur Sulong berkata, berdasarkan rakaman tersebut, pihaknya telah mengesan nombor pendaftaran kereta Proton Waja berwarna perak yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Selepas siasatan dibuat, didapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah palsu dan kita masih giat memburu kesemua suspek," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shukur, pihaknya juga mengesahkan jumlah wang yang ditemui di dalam van dan sebahagiannya lagi yang telah terbakar berjumlah RM500,000.
Semalam, selepas melarikan van keselamatan di hadapan kedai nombor ekor berhampiran Klang Parade, lima perompak terlibat membakar van tersebut yang di dalamnya terdapat dua pengawal dan beberapa karung wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 untuk menghapuskan bukti di Jalan Tiong off Taman Eng Ann.
Sebelum membakar van tersebut kira-kira pukul 6 petang, kesemua suspek yang bersenjatakan dua pucuk pistol terlebih dahulu membawa keluar tiga karung besar wang tunai berjumlah kira-kira RM1 juta dan merampas sepucuk revolver milik salah seorang pengawal keselamatan.
Mereka kemudian meninggalkan tempat kejadian di lorong kawasan perumahan teres setingkat bersama sebuah kereta Proton Waja berwarna perak.
Dua pengawal keselamatan terlibat berjaya keluar dari van tersebut yang terbakar teruk di bahagian hadapan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121005/je_01/Guna-rakaman-CCTV-buru-perompak#ixzz28QGQeG2O
© Utusan Melayu (M) Bhd