SELANGAU: Seorang wanita yang masih dalam pantang selepas bersalin terpaksa berlari meredah hujan sambil menggendong bayinya berusia sembilan hari apabila rumah panjang dihuninya terbakar awal pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 4 pagi di Rumah Panjang Nyantau, memusnahkan 13 rumah menyebabkan 100 penghuni hilang tempat tinggal.
Menceritakan kejadian itu, Maria Nyantau, 27, berkata dia tersedar dari tidur selepas anak ketiganya itu Gongria Gillvin Agong, menangis.
Menurutnya, pada masa sama, dia tercium bau wayar hangus dan meminta suaminya, Agong anak Ingko, 41, mencari puncanya. “Sebaik diberitahu rumah panjang kami terbakar, saya tidak berfikir panjang, terus mencapai Gongria keluar dan meredah hujan mencari perlindungan di tepi jalan.
“Walaupun masih lemah, saya gagahkan diri menyelamatkan bayi ini. Suami saya pula menyelamatkan dua lagi anak serta membantu menyelamatkan penghuni lain kerana api marak dengan cepat walaupun ketika itu hujan lebat,” katanya.
Difahamkan, walaupun hujan lebat ketika kejadian, namun api tetap marak sekali gus meranapkan rumah panjang separa batu berusia 18 tahun itu.
Ketika kejadian, kira-kira 20 penghuni berada di rumah itu, manakala yang lain di tempat kerja masing-masing di Sibu, Mukah dan Bintulu.
Sementara itu, Agong berkata, kebakaran dipercayai daripada litar pintas akibat disambar petir kerana sebelum api marak, dia terdengar bunyi letupan seakan-akan mercun dari bilik ketiga rumah panjang itu.
“Selepas saya periksa, rupa-rupanya bunyi itu datang dari wayar yang terbakar dan dalam sekelip mata, api menyambar bahagian siling rumah sebelum merebak ke bahagian lain.
“Sebelum kebakaran, petir sabung menyabung dan bekalan elektrik terputus kerana dipercayai suis utama di bilik ketiga terkena petir,” katanya.
Agong berkata, penduduk cuba memadam kebakaran dengan menyimbah air menggunakan baldi, namun usaha itu gagal kerana api marak dengan cepat.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.27 pagi sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota kami tiba di tempat kejadian pada jam 6.26 pagi dan rumah berkenaan sudah hangus, cuma tinggal bahagian dinding depan,” katanya.
Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu, Mohamad Guntor Rajaee berkata, pihaknya menyalurkan bantuan makanan serta peralatan dapur untuk kemudahan mangsa.
“Semua mangsa di tempatkan sementara di pondok berhampiran dan kami menyediakan kanvas untuk membolehkan mereka membuat dinding.” katanya.