Zanariah terpaksa dipapah ketika menaburkan bunga di kubur arwah suaminya.
Tinggal kenangan... Hasnul Saad, 28 bersama isterinya, Zanariah Mat Ramli, 26, di dalam usia perkahwinan yang baru mencecah dua tahun
KAMUNTING – Pengawal keselamatan, Hasnul Saad, 28 maut dipercayai ditembak rakan sekerjanya dalam kes rompakan wang bernilai kira-kira RM1.2 juta di hadapan sebuah pasar raya, dekat sini, kelmarin, pernah meluahkan hasrat untuk berhenti kerja kepada isterinya, Zanariah Mat Ramli, 27.
Zanariah ketika ditemui memaklumkan, hasrat itu disuarakan oleh mangsa dua hari sebelum kejadian itu berlaku kerana menganggap pekerjaan sebagai pengawal keselamatan sangat merbahaya.
Menurutnya, mangsa sedang berusaha mencari kerja lain dan lebih menghibakan Zanariah, kejadian yang menimpa suaminya berlaku ketika dia sedang menjalani kursus di Kuala Lumpur.
"Saya selalu dengar kejadian sebegini berlaku dan tidak menyangka ia terjadi ke atas suami saya. Tiada apa yang dapat saya katakan kerana masih terkejut serta sedih kerana suami saya telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya.
"Kali terakhir saya tatap wajah suami saya adalah pada pagi hari kejadian ketika dia menghantar saya ke pejabat untuk menjalani kursus," katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham Hasnul, di Kampung Pinang, di sini, semalam.
Zanariah mengetahui kejadian setelah dihubungi ibu mertuanya pada jam 6 petang kelmarin dan menyifatkan Hasnul sebagai suami yang bertanggungjawab serta penyayang.
Pendiam dan baik
Bapa mertua mangsa, Mat Ramli Abd Hamid, 60, berkata, satu perkara yang dianggap pelik pada diri mangsa pada pagi hari kejadian adalah, menantunya itu tidak menegurnya ketika berselisih semasa mengambil wuduk untuk solat Subuh.
"Itu sahaja perubahan sikap yang nampak ketara pada diri arwah di mata saya kerana pada kebiasaannya, kami memang akan berborak," katanya.
Bagaimanapun, Mat Ramli berkata, mangsa sememangnya seorang yang pendiam dan dia juga tahu tentang hasrat mangsa mahu berhenti kerja berikutan sukar untuk solat dan makan.
Manakala, ibu mangsa, Latifah Omar, 52 memaklumkan mengetahui kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu daripada kakaknya.
"Pada mulanya saya tidak percaya Hasnul telah pergi untuk selamanya kerana ditembak dan saya pengsan sebaik sahaja menerima perkhabaran itu.
"Hasnul adalah seorang anak yang sangat rapat dengan saya dan sangat bertanggungjawab. Arwah tidak mahu tinggal berasingan selepas berkahwin kerana mahu menjaga saya," katanya.
Latifah menjelaskan, semasa hayatnya, mangsa bersama isteri akan tinggal bersamanya selama dua minggu dan bersama mertuanya juga untuk dua minggu.
"Hasnul memang sentiasa ambil berat tentang saya dan pernah berkata, bila duduk dekat, senang untuk dia menjaga saya," katanya.
Jenazah mangsa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pinang Seberang pada jam 3 petang semalam selepas proses bedah siasat selesai di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Polis cari suspek
Dalam kesedihan atas tragedi yang menimpa anaknya, Latifah sempat memaklumkan yang dia tidak mengenali suspek, namun difahamkan suspek hanya bekerja dalam pejabat, bukan di bahagian penghantaran.
"Bagaimanapun, suspek dipercayai menaiki van bersama Hasnul. Kalau lain-lain rakan arwah memang saya kenal.
"Saya harap orang menembak anak saya itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin dan berharap sangat polis dapat membantu menyelesaikan kes ini segera," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Md Diah memaklumkan, gerakan memburu suspek masih diteruskan, termasuk menyerbu tempat tinggal.
"Kita telah pergi ke rumah suspek di Taman Kaya, namun didapati kosong. Suspek telah melarikan diri bersama wang hasil rompakan bersama beberapa individu lain, menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna hitam.
"Polis difahamkan, kenderaan terbabit telah menuju ke arah bandar Taiping dan kita masih meneruskan pemantauan," katanya.